malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
NGO desak siasat surat sokongan Shafie lulus permohonan MyKAS
Diterbitkan:  Apr 5, 2025 5:24 PM
Dikemaskini: 9:28 AM
ADS

Sebuah NGO di Sabah mendesak agar siasatan dijalankan terhadap penularan dua surat rasmi mengandungi arahan bertulis bekas ketua menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang menyokong permohonan dokumen pengenalan diri.

Ketua Pemuda Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Steve Johnny Mositun, menggesa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan jumlah permohonan seumpama itu yang telah disokong oleh Shafie ketika dia menjadi Ketua Menteri Sabah dari tahun 2018 hingga 2020.

Mositun dipetik Free Malaysia Today mempersoalkan apakah permohonan tersebut mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Sabah pernah 'dibakar' kesilapan ini. Kita tidak mahu api lama dinyalakan semula melalui pintu belakang pentadbiran negeri. Soal kewarganegaraan bukan mainan politik – ini soal kedaulatan negara,” katanya.

Salah satu daripada surat itu dikongsi di Facebook oleh sayap wanita muda Warisan di Penampang, yang menunjukkan sepucuk surat kepada Shafie bertarikh 26 April 2019. Surat itu meminta bantuan Shafie mempercepatkan proses pemohon tersebut mendapatkan kad pemastautin sementara (MyKas).

ADS

Pada surat itu, terdapat catatan tulisan tangan yang meminta perhatian JPN.

Menurut hantaran Facebook Warisan, MyKas ialah dokumen pengenalan sementara yang dikeluarkan oleh JPN kepada individu yang lahir di negara ini tetapi masih belum memperoleh kewarganegaraan.

Bagaimanapun, Mositun berkata kenyataan itu tidak mencerminkan realiti sepenuhnya kerana pemegang MyKAS berpeluang memohon status pemastautin tetap (MyPR) dan seterusnya MyKAD mengikut syarat dan tempoh ditetapkan.

“MyKAS sebenarnya titik permulaan kepada kewarganegaraan.

“Oleh itu, sebarang pengaruh luar terhadap kelulusan MyKAS – lebih-lebih lagi melalui arahan politik – adalah sangat membimbangkan,” tegas Mositun.

Dia turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis menyiasat isu itu sekiranya ada elemen salah guna kuasa atau ketirisan sistem pentadbiran untuk mengelakkan episod Projek IC berulang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen