malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Tabung bencana DAP: Dosa besar kecam orang nak bantu mangsa - Loke
ADS

Usaha DAP membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya dengan mewujudkan tabung bantuan dibuat atas permintaan orang ramai.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ia juga bagi memudahkan sumbangan dikumpulkan sebelum disalurkan kepada mangsa.

Loke menyifatkan tindakan pihak tertentu mengecam usaha membantu mangsa kebakaran itu sebagai tidak berakal.

“Ini bencana, orang nak bantu pun dia nak kecam. Lebih baik dia cuba fikir bagaimana nak bantu mangsa. Kerajaan ada tanggungjawab kerajaan untuk bantu, begitu juga syarikat swasta ada tanggungjawab untuk bantu.

ADS

“Ramai penyokong tanya macam mana nak bantu. Bukan semua ada keupayaan macam Berjaya ( syarikat besar) ada yang nak derma RM50, RM100, dia nak derma macam mana?.

“Jadi kita buka tabung itu sebab ada permintaaan orang ramai yang bertanya macam mana nak salurkan sumbangan,” katanya kepada media selepas Majlis Bantuan Sumbangan RM3,000 oleh Berjaya Corporation Bhd (BCORP) dan penyerahan 50 buah kereta oleh Carsome kepada mangsa kebakaran Putra Height.

Hadir sama pengasas BCORP, Vincent Tan; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carsome, Eric Cheng; Pengarah Urusan Carsome Malaysia, Chris Ang; Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Carsome, Aaron Kee dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Loke mengulas kecaman terhadap DAP di media sosial selepas parti itu melancarkan tabung kutipan derma untuk mangsa kebakaran Putra Heights.

ADS

Pihak terbabit mempersoalkan tindakan itu dengan mengatakan DAP sepatutnya menggerakkan bantuan daripada kerajaan berikutan parti itu sebahagian komponen dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, kebanyakan penyumbang perseorangan menyampaikan hasrat untuk memberi sumbangan kepada mangsa.

“Syarikat besar yang mampu mereka terus bagi kepada mangsa, tetapi ada orang perseorangan yang nak bantu dalam jumlah lebih kecil RM5, RM10 bagaimana nak bantu, itu sebab mereka minta kita buka tabung dan kita memudahkan orang ramai.

“Bagi orang yang kecam itu, saya nak beritahu mereka dosa besar kalau kecam orang nak bantu mangsa bencana ini. Dosa besar, lebih baik mereka simpan tenaga, fikir cara nak bantu orang, kalau tak nak bantu diam sahaja,” katanya.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami manakala 148 rumah lagi terjejas serta mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami setelah melalui proses pembaikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen