malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lebih baik MB Selangor ambil cuti, sindir Fadhli
Diterbitkan:  Apr 5, 2025 4:11 PM
Dikemaskini: 8:12 AM
ADS

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menyindir Amirudin Shari dengan menyarankan menteri besar Selangor itu untuk bercuti.

Fadhli memberikan saranan itu ketika membalas kritikan Amirudin yang menyifatkan PAS sebagai mengamalkan fitnah dan putar belit, berhubung insiden kebakaran paip gas di Putra Heights di Subang Jaya. 

Dia berkata kritikan Amirudin itu tidak menjawab isu sebenar berkaitan penafian awalnya mengenai keberadaan ekskavator berhampiran saluran paip gas di sana.

“Dengan respons menteri besar Selangor ini, saya rasa lebih baik dia bercuti. 

ADS

“Ambil tempoh bertenang, buat video TikTok. Serahkan kepada pihak polis dan jabatan berkaitan sahaja untuk membuat kenyataan berikutnya. 

“Kalau ini respons menteri besar, rakyat lebih hormat kenyataan penjawat awam,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Hantaran itu disertakan tangkap layar respons Amirudin terhadap satu hantaran yang dibuat Ketua Eksekutif Yayasan Menteri Besar Incorporated (MBI) Ahmad Azri Zainal Nor.

Azri berkata Amirudin pada awalnya menafikan keberadaan ekskavator di tempat letupan kerana jentera tersebut telah tenggelam ke dalam tanah.

Dalam sidang media semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan bahawa kerja-kerja penggalian bagi menggantikan paip pembetungan dilakukan di kawasan sekurang-kurangnya 30 meter dari tempat kejadian.

Amirudin Shari (kiri)

Kerja-kerja tersebut, yang berakhir pada 30 Mac, melibatkan penggunaan pengorek kaut dan ekskavator, dengan ekskavator itu disahkan tenggelam ke dalam kawah akibat letupan besar yang berlaku.

Dia berkata siasatan lanjut akan menentukan sama ada aktiviti penggalian itu merupakan punca letupan atau bukan.

‘Tarik nafas panjang-panjang’

Sementara itu, Fadhli berkata Amirudin sepatutnya menerima laporan saksi mata daripada penduduk yang berkata ekskavator memang ada di situ sebelum kejadian berlaku.

“Benar, mata menteri besar Selangor bukannya ada sensor untuk lihat jentera yang tertimbus itu, tapi alangkah baiknya jika daripada awal lagi menerima dengan penuh terbuka dakwaan sebahagian penduduk yang menjadi saksi bahawa wujudnya jentera itu sehingga ke saat akhir menjelang hari raya.

“​Amirudin perlu bertenang, sabar dan tarik nafas panjang-panjang,” sindirnya lagi.

Kebakaran besar yang berlaku di saluran gas Petronas pada pagi Selasa lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, sehingga mengubah keadaan kawasan itu menjadi kawah besar.

ADS

Kejadian itu turut memusnahkan deretan rumah dan harta benda dalam lingkungan 500 meter.

Pada 3 April lalu, Amirudin memaklumkan 87 rumah dan premis diisytiharkan sebagai “musnah sepenuhnya” manakala 148 rumah lain masih dapat didiami selepas dibaiki.

Menurutnya, sebanyak 308 keluarga melibatkan 1,254 mangsa telah dikenal pasti selepas mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Daripada jumlah itu, seramai 630 mangsa daripada 157 keluarga kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen