malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Rakyat Sabah bantah kontrak Azam Baki dilanjutkan, kata NGO
Diterbitkan:  Apr 5, 2025 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM
ADS

Sebuah NGO di Sabah membantah sepenuhnya sebarang langkah untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam Baki sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, selepas ia tamat pada Mei ini.

Presiden Sabah Entitlement and Equity Now (Seen) Duncan Cheng berkata laporan mengenai kemungkinan tempoh perkhidmatan Azam dilanjutkan selama enam bulan telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Sabah.

“Jelas sekali Azam dilihat lemah dan lambat dalam menyiasat skandal rasuah melibatkan lesen penerokaan mineral yang membabitkan speaker DUN dan lapan Adun daripada gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Sembilan ‘Yang Berhormat’ ini telah mencipta rekod penglibatan terbesar kes rasuah dalam sejarah Sabah, lengkap dengan rakaman video perbincangan mengenai jumlah rasuah antara pemberi maklumat dan kesemua sembilan YB,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun ia tuduhan yang amat serius, Cheng berkata SPRM masih belum membuat sebarang tangkapan atau mendakwa mana-mana Adun yang didakwa terlibat.

ADS

“Azam hanya memberikan alasan yang tidak munasabah bahawa kes ini masih dalam siasatan.

“Rakyat Sabah tertanya-tanya — apa yang begitu sukar sehingga SPRM memerlukan enam bulan hanya untuk menjalankan siasatan? Sudah ada pengadu, saksi, rekod WhatsApp, jejak kewangan dan paling penting, bukti video yang menunjukkan wajah kesemua sembilan YB,” katanya lagi.

Cheng menegaskan kelambatan SPRM dalam menangani kes itu telah mencetuskan spekulasi dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

ADS

“Selaku ketua pesuruhjaya SPRM, Azam perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan ini,” katanya, sambil mempersoalkan jika Perdana Menteri Anwar Ibrahim benar-benar percaya bahawa tiada individu lain yang layak untuk mengetuai suruhanjaya itu.

Katanya lagi, rakyat Sabah juga menuntut penjelasan daripada Anwar mengenai pencapaian dan sumbangan Azam dalam menerajui SPRM sejak 2020 di bawah tiga orang perdana menteri.

“Adakah amalan berulang untuk melanjutkan kontrak pegawai tertinggi yang telah mencapai umur persaraan wajib ini selari dengan prinsip tadbir urus telus seperti yang diperjuangkan Anwar sejak menjadi perdana menteri?” soalnya.

Semalam, Anwar yang telah dua kali melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sejak menjadi perdana menteri pada November 2022, berkata belum ada keputusan dibuat untuk lanjutan kali ketiga.

“Kita akan umumkan apabila ada keputusan… kita akan lihat bila ia tamat,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika mengulas laporan Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Azam akan diberi lanjutan selama enam bulan.

Terdahulu, peguam Mahajoth Singh yang mewakili ahli perniagaan yang mendedahkan skandal Sabah, berkata anak guamnya dalam dua sesi soal siasat telah memberikan “bukti yang mencukupi” kepada SPRM.

“Bukti yang mencukupi telah diberikan, yang menjadikan keterangan hampir mencecah 50 muka surat,” katanya.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor pula mendakwa pemberi maklumat itu bersekongkol dengan pihak berkepentingan untuk menjejaskan pentadbirannya.

Turut timbul dakwaan bahawa individu tersebut sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli perlombongan di Sabah, dan menggunakan penipuan untuk mencapai tujuan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen