Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Ali berkata dia sedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung dakwaan masih menjadi pengarah dalam sebuah syarikat milik kerajaan negeri.
Armizan berkata kesediaannya itu bergantung kepada sama ada dakwaan tersebut mempunyai asas undang-undang atau tidak.
“Saya berpegang kepada prinsip hormati proses yang ada, berbanding membuat spekulasi dan persepsi negatif atas motif politik. Biarlah proses undang-undang berjalan,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Ketua Polis Daerah Nilai Abdul Malik Hasim mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung dakwaan tersebut.
Laporan itu dibuat oleh aktivis politik Tandiko Dalusin, yang menggesa polis untuk menyiasat sama ada Armizan telah melanggar Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perkara 48(1)(c), seseorang hilang kelayakan sebagai ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara sekiranya mereka memegang jawatan berpendapatan.
Dalam laporan itu, Tandiko juga berkata tindakan Armizan memegang jawatan dalam syarikat tersebut bercanggah dengan Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen.
Ia susulan pengesahan Armizan bahawa dia terlibat dalam satu mesyuarat antara anak syarikat kerajaan negeri Sabah, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) dan sebuah firma dari Indonesia pada 16 Mei 2023.
Timbalan setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata kehadirannya dalam mesyuarat itu, bersama-sama keseluruhan pasukan pengurusan SMM, adalah dalam kapasitinya sebagai ahli lembaga pengarah pada masa itu.
Ketika itu, Armizan juga menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas).
Dakwaan konflik kepentingan
Pada 3 April lalu, Ketua Pemuda Bersatu Sabah Hisyam Hazaril Azman, mendakwa semakannya dengan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Armizan merupakan pengarah Common Tower Technology Sdn Bhd (Common Tech) – jawatan yang dipegangnya sejak 1 Februari 2023.
Hisyam berkata ia menimbulkan konflik kepentingan dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Dia juga menyifatkan “agak luar biasa” bagi seorang yang memegang jawatan menteri dalam kerajaan persekutuan turut memegang jawatan sebagai ahli lembaga SMM.
Ahli Majlis Tertinggi Warisan Calvin Chong pula mengkritik Armizan kerana didakwa cuba mengalihkan perhatian daripada dakwaan yang mengaitkannya dengan skandal perlombongan di Sabah.
Sebelum itu, Armizan menggesa agar Chong, Pengarah Pilihan Raya Umno Sabah Jeffery Nor Mohamed dan bekas ahli Parlimen Warisan Ahmad Hassan mendedahkan sumber di sebalik tuduhan yang mengaitkannya dengan skandal tersebut.
Pada 27 Mac, Chong menggesa GRS agar menyatakan pendirian berhubung dakwaan rasuah yang dihadapi Armizan, selain menegaskan ahli politik dari gabungan itu tidak boleh berselindung di sebalik prinsip “tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah” sebagai alasan untuk terus berdiam diri.
Sejak November tahun lalu, lapan Adun Sabah, termasuk speaker dan Ketua Menteri Hajiji Noor dikaitkan dengan skandal rasuah oleh seorang pemberi maklumat.
Pemberi maklumat tersebut mendedahkan sejumlah klip video yang menunjukkan beberapa pemimpin negeri itu didakwa berbincang mengenai sogokan yang diterima sebagai balasan menyokong lesen penerokaan mineral.