malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Orang ramai perlu faham sejarah di sebalik kuil 'haram' - Aktivis
ADS

Bekas presiden Malaysian Hindu Sangam (MHS), A Vaithilingam berkata orang ramai perlu memahami konteks sejarah di sebalik pembinaan kuil-kuil Hindu lama yang sering dikecam sebagai ‘haram’.

Dalam satu temubual dengan Malaysiakini, tokoh berusia 90 tahun itu berkata para pekerja ladang dari India dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh penjajah British suatu ketika dahulu melalui apa yang disifatkannya sebagai “penipuan”.

“Tiada siapa yang sanggup masuk ke dalam hutan, membersihkan hutan, menyediakan laluan untuk ladang, untuk jalan raya, untuk landasan kereta api, dan untuk sungai dijadikan terusan supaya tanah boleh dibangunkan.

“Mereka (British) telah membawa pekerja yang dijanjikan kononnya mereka akan datang ke tanah impian di sini. Tetapi hakikatnya mereka adalah pekerja kontrak yang dibawa masuk tanpa sebarang pendidikan dari India,” katanya.

ADS

Akibat hidup dalam keadaan daif dan berkongsi lubang tandas, komuniti India melawan ketakutan mereka melalui pendekatan kerohanian.

“Pekerja-pekerja ini dibenarkan membina kuil-kuil kecil mereka sendiri. Dan dewa utama biasanya berdasarkan konsep keibuan,” katanya.

Antara contoh katanya, ialah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, yang baru-baru ini menjadi perhatian berikutan pemindahannya yang kontroversi untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah masjid.

Terdahulu dalam satu temubual bersama Malaysiakini, presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia (Mahima), N Sivakumar turut memberikan penjelasan serupa.

ADS

Dia berkata penerokaan hutan dan pembangunan telah menyebabkan kuil-kuil ini terdedah kepada orang ramai, sedangkan sebelum ini ia tersembunyi di sebalik hutan tebal.

Pada waktu itu, katanya, tanah-tanah tersebut dikawal oleh pentadbiran British, dan para penganut tidak jelas kepada siapa mereka harus membuat permohonan untuk membina rumah ibadat.

Bercakap mengenai karenah birokrasi yang dicipta oleh penjajah Eropah, Vaithilingam berkata bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyelesaikan isu tersebut.

“Pada Disember 2006, dia telah memanggil satu mesyuarat yang menghimpunkan semua organisasi India dan mengadakan perbincangan di Pejabat Perdana Menteri. Ini termasuk organisasi India, agama mahupun bukan agama,” kata Vaithilingam.

“Keputusan beliau ialah mulai sekarang, semua kuil yang sedia ada boleh diteruskan.

“Tetapi jika ada sebarang perobohan, ia mesti diselesaikan melalui rundingan atau melalui perintah mahkamah.

“Tetapi mulai sekarang juga, katanya, mana-mana kuil baru di tempat baru yang dibina oleh mana-mana agama mesti mendapat kelulusan pejabat tanah. Ini bermaksud mereka mesti mempunyai tanah sendiri.”

Perkara ini berlaku semasa dia memegang jawatan sebagai presiden MHS.

Pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman mencetuskan reaksi bercampur-baur, dengan perbincangan dalam talian tertumpu kepada status perundangan melibatkan kuil-kuil Hindu. Sebuah kumpulan Facebook turut diwujudkan oleh orang awam untuk memantau dan melaporkan kes-kes sebegini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen