malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Mana wang ihsan RM30 juta dan duit raya dijanji Anwar pada pesawah?'
Diterbitkan:  Apr 4, 2025 9:17 PM
Dikemaskini: 1:17 PM
ADS

Adun Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mendesak kerajaan menunaikan janji untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada pesawah.

Sebelum ini Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan itu yang dikatakan dipersetujui Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dengan separuh daripada jumlah berkenaan diberikan lebih awal kepada pesawah sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.

“Aidilfitri telah pun memasuki hari kelima (5 Syawal 2025), namun sehingga hari ini tiada sesen pun sumbangan ihsan yang dijanjikan PMX Anwar Ibrahim diterima pesawah.

"Oleh itu, saya mendesak agar kerajaan bertindak segera untuk memastikan bantuan ini disalurkan dengan telus sebegitu juga bantuan-bantuan lain yang dijanjikan diberikan tepat pada masanya demi kelangsungan hidup pesawah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ADS

Ashraf berkata perdana menteri mengumumkan bantuan wang ihsan itu pada 13 Feb lalu setelah 'gagal' menetapkan harga belian padi pada RM1,800 bagi setiap tan metri.

"Namun kegagalan membela nasib pesawah tidak terhenti di situ.

"Sehingga kini, bantuan tersebut masih belum diterima oleh pesawah, sehingga menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati dalam kalangan mereka,” katanya.

Pada Jan lalu, lebih 200 pesawah dari seluruh negara berhimpun di hadapan ibu pejabat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Putrajaya bagi membantah Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman dan menuntut supaya harga lantai padi dinaikkan daripada RM1,300 se tan kepada RM1,800.

Pesawah berkenaan berpendapat harga yang ditetapkan pada tahun 2023 sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi mencerminkan realiti ekonomi semasa, terutamanya peningkatan kos diesel dan benih.

Bagaimana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, mengumumkan harga lantai ditetapkan hanya RM1,500 setan pada 13 Feb.

Pada hari yang sama, Anwar berkata Bernas, yang memegang monopoli import beras, akan menyalurkan RM30 juta untuk membantu petani padi yang terjejas.

Anwar kemudiannya berkata pada 28 Feb bahawa RM15 juta daripada jumlah tersebut akan disalurkan lebih kepada pesawah sebagai persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen