malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Masih pengarah syarikat: Laporan polis dibuat terhadap menteri
ADS

Satu laporan polis dibuat terhadap Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali kerana didakwa masih memegang jawatan pengarah dalam syarikat milik kerajaan negeri.

Ketua Polis Daerah Nilai, Abdul Malik Hasim mengesahkan menerima laporan itu dan memaklumkan pengadu telah memberi keterangan.

“IPD Nilai ada menerima laporan polis terhadap YB Armizan dan keterangan pengadu telah diambil pada 3 Mac 2025, jam 10.56 malam. Dan hanya satu laporan sahaja yang dibuat,” katanya kepada Malaysiakini.

Laporan dibuat aktivis politik, Tandiko Dalusin yang meminta pihak polis menyiasat pelanggaran Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan oleh Armizan.

“Mana mungkin seorang ahli parlimen tidak mengetahui hal sedemikian rupa. Adakah Armizan mahu mencabar undang- undang serta Perlembagaan Persekutuan?"

ADS

“Apakah YB Armizan lebih tinggi dari Perlembagaan Persekutuan Malaysia?” soalnya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini.

Dalam laporan itu, Tandiko berkata tindakan Armizan memegang jawatan dalam syarikat bercanggah dengan Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen.

“Ini jelas tidak beretika dan boleh mendatangkan pandangan negatif serta persepsi buruk rakyat kepada YB Armizan Mohd Ali sendiri. Dan mungkin akan berlaku kepentingan peribadi (conflict of interest) dalam hal ini,” katanya.

ADS

Malaysiakini telah menghubungi Armizan bagi mendapatkan respons.

Semalam, Pemuda Bersatu (Armada) Sabah mempersoalkan kedudukan Armizan sebagai menteri.

Ini selepas semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga 1 April 2025 mendapati Armizan masih merupakan pengarah dalam syarikat Common Tower Technology Sdn. Bhd. (common Tech) yang dilantik mulai 1 Februari 2023.

Ketua Armada Sabah, Hisyam Hazaril Azman berkata perkara itu menimbulkan konflik kepentingan dan melanggar Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Hisyam, pengakuan Armizan bahawa dia sebelum ini memegang jawatan dalam lembaga pengarah anak syarikat negeri, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), turut menimbulkan konflik kepentingan memandangkan ketika itu dia merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas).

Mengulas lanjut, Tandiko berkata kelakuan Armizan sangat jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara ketiga dan keempat iaitu keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Justeru saya mohon PDRM menyiasat YB Armizan secara adil dan saksama sama seperti rakyat biasa tanpa membeza-bezakan antara rakyat atau menteri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen