malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia kurang bahagia, jatuh lima anak tangga laporan dunia
Diterbitkan:  Mar 20, 2025 11:00 AM
Dikemaskini: 5:05 AM
ADS

Malaysia jatuh lima anak tangga ke kedudukan ke-64 dalam Laporan Kebahagiaan Dunia 2025, yang disediakan bersama oleh firma penyelidik Gallup.

Dalam laporan sebelumnya, Malaysia berada di tempat ke-59.

Negara mencatat markah 5.955 dalam Indeks Penilaian Hidup, berbanding 5.975 pada tahun sebelumnya.

Dalam kalangan negara anggota Asean, Malaysia menduduki tempat keempat dalam tinjauan tersebut.

ADS

Laporan itu juga menyatakan Malaysia adalah antara empat negara teratas di dunia di mana rakyatnya paling kerap berkongsi makanan bersama.

“Rakyat Malaysia berkongsi kira-kira 11 hidangan seminggu dengan orang lain,” menurut tinjauan tersebut.

Laporan itu, hasil kerjasama antara firma tinjauan Gallup, Oxford Wellbeing Research Centre, dan UN Sustainable Development Solutions Network, menganalisis tempoh antara 2022 hingga 2024.

Dalam kalangan negara Asean, Singapura menduduki tempat pertama di kedudukan ke-34, diikuti oleh Vietnam di tempat ke-46 dan Thailand di tempat ke-49.

Indonesia berada di tempat ke-83, diikuti oleh Laos (93), Kemboja (124) dan Myanmar (126).

Negara Nordik

Negara-negara Nordik sekali lagi mendominasi kedudukan, dengan Finland berada di tangga teratas untuk tahun kelapan berturut-turut, dengan markah 7.736 dalam Indeks Penilaian Hidup.

Denmark, Iceland dan Sweden masing-masing di tempat kedua, ketiga dan keempat - sama seperti tahun sebelumnya.

Belanda kembali berada dalam kelompok lima teratas, sementara Costa Rica (6) dan Mexico (10) buat kali pertama tersenarai dalam 10 negara paling bahagia.

Jerman mencatat peningkatan daripada tempat ke-24 ke-22, manakala Amerika Syarikat jatuh satu tangga ke tempat ke-24, kedudukan terburuknya setakat ini.

Sementara itu, Lubnan (141), Sierra Leone (142) dan Afghanistan (143) disenaraikan sebagai negara paling tidak bahagia.

Laporan ini, yang diterbitkan sempena Hari Kebahagiaan Sedunia PBB, dijalankan dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Oxford, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB dan lembaga editorial Laporan Kebahagiaan Dunia.

Kira-kira 1,000 individu disoal selidik setiap tahun di setiap negara, dengan 147 negara dan wilayah terlibat dalam tinjauan ini.

Para penyelidik mengenal pasti beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kesejahteraan penduduk, antaranya sokongan sosial, pendapatan, kebebasan kesihatan, serta persepsi terhadap rasuah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen