Bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob selesai memberi keterangan kepada SPRM hari ini.
Ismail Sabri dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 4.35 petang. Terdahulu dia tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.57 pagi dan proses merakam keterangan berlangsung lebih enam jam.
Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Isnin lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata beberapa fail baru dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaru pihaknya dan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada bekas perdana menteri itu.
Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.
-Bernama