Seorang warga emas yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan akan didakwa semula hari ini.
Jabatan Peguam Negara berkata terdapat “isu teknikal” dengan pertuduhan yang difailkan ke atas Abdul Razak Ismail pagi tadi.
“Isu teknikal melibatkan pertuduhan telah diatasi dan individu terbabit akan dituduh semula di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada petang 19 Mac 2025,” katanya dalam kenyataan.
“Jabatan Pequam Negara komited untuk memastikan semua pihak memperolehi keadilan yang sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya lagi.
Abdul Razak didakwa di mahkamah sama pagi ini berhubung insiden pada 16 Mac di mana dia dipercayai menampar seorang lelaki bukan Islam kerana makan di kedai serbaneka pada petang 16 Mac lalu.
Dakwaan itu dibuat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM2,000, atau kedua-duanya sekali.
Abdul Razak pada mulanya mengaku bersalah namun tidak mengakui fakta kes.
Ia menyebabkan majistret A Shaarmini memerintahkan lelaki berusia 65 tahun itu untuk melantik peguam untuk membela diri.
Pihak pendakwaan kemudian memberitahu mahkamah yang pihaknya telah menerima arahan untuk merujuk kes kepada AGC.
Mahkamah kemudian memutuskan dia untuk dilepas tanpa dibebaskan.