malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Warga emas tampar bukan Muslim didakwa hari ini
Diterbitkan:  Mar 19, 2025 8:52 AM
Dikemaskini: 12:52 AM
ADS

Seorang suspek warga emas yang menampar seorang pemuda bukan Islam kerana makan di khalayak ramai baru-baru ini akan didakwa di mahkamah hari ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan media oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, yang dikeluarkan lewat malam tadi.

“Pada 18 Mac, kertas siasatan telah dirujuk ke kamar arif Timbalan Pendakwa Raya (TPR) negeri Johor dan hasil penelitian yang arif timbalan pendakwa raya telah membuat keputusan untuk menuduh suspek dalam kes ini di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

“Suspek akan dituduh di Mahkamah Johor Bahru pada 19 Mac (Rabu).

“Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 65 tahun. Semakan rekod ke atas suspek tiada mempunyai rekod jenayah lampau,” kata Balveer.

Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali.

Isnin lalu, dilaporkan bahawa seorang pemuda bukan Muslim ditampar di khalayak ramai oleh seorang individu tidak dikenali kerana makan di sebuah kedai serbaneka di Johor Bahru.

Kejadian yang berlaku di dalam sebuah pusat membeli-belah itu dirakam dalam sebuah video.

Menurut mangsa, yang memperkenalkan dirinya di platform X sebagai Elijah, dia sedang makan di kedai serbaneka tersebut apabila lelaki warga emas itu menegurnya.

“Saya hanya makan macam biasa dan pak cik itu tanya saya, orang Cina ke tak. Saya jawab ya, sebab itu soalan biasa.

“Lepas tu dia nak saya tunjukkan IC (kad pengenalan) saya walaupun kita tak boleh tunjuk IC kepada orang yang tidak dikenali.

“Selepas itu dia tanya kalau saya Islam atau bukan Islam, dan marah kenapa makan pada masa puasa ini, walaupun saya bukan Islam dan saya tidak ada ganggu dia.

“Dia boleh sampai tampar saya beberapa kali pula," kata Elijah yang berkongsi dua video pendek kejadian itu di platform X.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen