malaysiakini logo
story-image
ADS

KATA MP | Sebagai seorang Muslim, saya amat terganggu dengan insiden di Johor Bahru melibatkan seorang lelaki bukan Islam diserang hanya kerana makan pada siang hari Ramadan.

Tindakan agresif itu bukan sahaja melanggar undang-undang, bahkan suatu gambaran yang salah terhadap Islam yang menekankan keamanan, toleransi, dan penghormatan terhadap semua individu tanpa mengira agama.

Kelakuan sebegitu mencerminkan satu trend kemarahan yang salah serta kegagalan mengawal diri, iaitu nilai yang amat ditekankan dalam Islam, khususnya sepanjang Ramadan.

Trend yang membimbangkan itu turut terpancar dalam satu lagi kes yang mengejutkan apabila seorang pelajar berusia 17 tahun dipukul oleh seorang lelaki berusia 39 tahun akibat pertelingkahan kecil di jalan raya di Kajang.

ADS

Remaja terbabit mengalami retak tulang hidung dan memerlukan rawatan perubatan.

Reaksi yang tidak wajar terhadap perkara-perkara remeh seperti itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai semakin merebaknya sikap tidak bertoleransi dan kemarahan yang tidak terkawal dalam masyarakat kita.

Jika ibadah puasa bertujuan untuk mengajar kesabaran dan mendisiplin diri, mengapa kita semakin kerap melihat individu membiarkan emosi menguasai tindakan mereka, walaupun dalam situasi yang remeh?

Ramadan adalah bulan suci yang mengajak kita untuk mengamalkan nilai kesabaran, disiplin diri, dan belas kasihan. Ia adalah masa untuk refleksi spiritual dan kita berusaha menjadi insan yang lebih baik, selain memperkukuh hubungan kita dengan Maha Pencipta.

Selindung sebalik kewarakan

Melihat seseorang bertindak ganas hanya kerana perkara kecil bukan sahaja mengecewakan malah memalukan. Berpuasa adalah perjalanan keimanan peribadi, bukan alasan untuk kemarahan atau kezaliman terhadap orang lain.

Sejak bila kita membiarkan kelemahan diri menentukan bagaimana kita melayani orang di sekeliling kita?

Malaysia ialah negara yang berbilang kaum dan budaya dengan rasa hormat dan persefahaman harus menjadi asas dalam setiap interaksi.

Tindakan seorang individu tidak mencerminkan keseluruhan komuniti Muslim, tetapi ia memberi peringatan keras bahawa kejahilan dan sikap panas baran boleh mencetuskan konflik yang tidak perlu.

Jika seseorang tidak dapat mengawal emosinya ketika berpuasa, maka apakah sebenarnya yang mereka pelajari daripada Ramadan?

Insiden-insiden tadi mendedahkan satu masalah yang lebih besar dalam masyarakat kita: trend menganggap diri sendiri betul (self-righteousness) yang berselindung di sebalik kewarakan agama (religious piety).

Terlalu kerap kita melihat individu yang mendakwa mempertahankan Islam, tetapi sebaliknya mereka bertindak dengan cara yang bercanggah dengan prinsip sebenar agama ini. Mereka memilih kekerasan berbanding kebijaksanaan, kemarahan bukan kesabaran.

ADS

Isu ini bukan sekadar tentang seorang lelaki yang gagal mengawal emosinya tetapi ia adalah gambaran lebih besar mengenai salah tafsir dan kemarahan yang tersalah arah.

Jika agama kita mengajar sifat belas kasihan, mengapa ada antara kita yang memilih permusuhan? Jika junjungan besar kita, Nabi Muhammad (SAW) menghadapi kesulitan dengan penuh kesabaran dan maruah, mengapa ada segelintir pengikut baginda bertindak dengan tidak bertolak ansur dan kemarahan?

Ramadan bukan tentang menghukum orang lain atas pilihan mereka, ia adalah tentang mendisiplinkan diri sendiri. Ia adalah masa untuk merenung, mengawal kemarahan, dan mengatasi naluri negatif kita.

Goyah iman lihat orang makan

Apakah contoh yang kita berikan kepada anak-anak kita jika kita mengajar mereka bahawa keganasan adalah reaksi yang wajar apabila melihat seseorang makan?

Apakah bentuk keimanan yang ingin kita amalkan jika puasa menjadikan kita individu yang penuh kebencian dan tidak bertoleransi, bukannya insan yang lebih baik dan penyayang?

Kepada saudara seagama, saya bertanya: adakah iman kita begitu rapuh sehingga sekadar melihat seseorang makan pun boleh menggoyahkannya?

Adakah kita berpuasa sekadar melengkapkan amalan, atau benar-benar menghayati nilai kesabaran, kebaikan, dan kerendahan hati?

Dan yang paling penting — sampai bila kita akan terus menggunakan agama sebagai alasan untuk kegagalan kita mengawal diri?

Islam tidak mengajar kita untuk memaksa orang lain mengikuti kewajiban kita. Al-Quran secara jelas menyatakan, “Tidak ada paksaan dalam agama” (al-Baqarah, 256), menegaskan bahawa agama tidak boleh dipaksakan ke atas sesiapa.

Nabi Muhammad menunjukkan teladan dengan sifat belas kasihan dan kefahaman terhadap semua golongan tanpa mengira agama.

Jika demikian, bagaimana kita boleh membenarkan keganasan terhadap seseorang yang sekadar menggunakan kebebasan peribadinya?

Jika melihat seseorang makan membuatkan anda begitu marah sehingga sanggup bertindak ganas, maka mungkin masalahnya bukan pada mereka tetapi pada diri anda sendiri.


SYERLEENA ABDUL RASHID ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen