Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan rasuah dan penyelewengan yang berkaitan dengan Sapura Energy Bhd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dipetik media tempatan mengesahkan pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berhubung perkara ini.
Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, kata Azam.
Sementara itu, sumber dipetik media tempatan memberitahu SPRM membuka kertas siasatan selepas menerima maklumat mengenai pembayaran rasuah dan tuntutan mencurigakan yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.

"Siasatan ini susulan siasatan awal yang telah dibuka pada penghujung 2023, yang turut melibatkan beberapa tuntutan kewangan syarikat tersebut," katanya seperti dilapor beberapa media tempatan.
Menurutnya, siasatan tertumpu kepada kegiatan pengubahan wang haram serta penyelewengan tuntutan sekitar tahun 2018 ketika syarikat itu masih dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.
"Selain jenayah rasuah, siasatan juga akan memberi fokus kepada kelemahan tatakelola serta isu pengurusan dalam syarikat berkenaan," kata sumber lagi.
Pada Selasa lalu, Sapura Energy memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa syarikat itu telah menerima suntikan dana berjumlah RM1.1 bilion daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) – sebuah syarikat khas di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Pelaburan ini hanya boleh digunakan untuk membayar hutang syarikat minyak dan gas itu kepada 2,000 vendor.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan Sapura Energy telah melakukan rombakan besar dalam kepimpinan tertingginya sebagai salah satu syarat utama sebelum kerajaan menyalurkan RM1.1 bilion kepada syarikat yang bermasalah itu.
Anwar, yang juga menteri mewangan, menegaskan msuntikan dana ini bukanlah satu bentuk penyelamatan syarikat itu serta pihak pengurusan tertingginya.
Sapura Energy mula mengalami masalah kewangan sekitar pertengahan 2010an apabila harga minyak jatuh menyebabkan syarikat itu mula mencatatkan kerugian besar dan bebanan hutang.
Menjelang tahun 2019, masalah kewangan syarikat semakin memburuk, sehingga ia mula mencatatkan kerugian setiap tahun.