malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Zamri seolah-olah cabar keseluruhan sistem tapi tiada tindakan diambil'
ADS

Aktivis Arun Dorasamy memertikaikan mengapa tiada tindakan lanjut ke atas pendakwah kontroversi Zamri Vinoth meskipun hampir seribu laporan polis dibuat terhadapnya.

Dia berkata demikian selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kira-kira pukul 4.15 petang tadi.

Arun Dorasamy berkata dia sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis memandangkan ada laporan dibuat terhadapnya, namun menggesa tindakan lanjut diambil terhadap pendakwah berkenaan.

“Dia (Zamri) juga telah bertindak menyiarkan semula hantarannya (di media sosial). Dia seolah-olah mencabar keseluruhan sistem dan tidak ada tindakan terhadapnya.

“Mengapa tidak ada perintah larangan (gag order)?” soalnya ketika dihubungi Malaysiakini, selepas menghabiskan sejam memberikan keterangan kepada polis.

Arun Dorasamy merujuk kepada kenyataan pendakwah itu yang menyamakan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk dan mabuk.

Arun Dorasamy memberi peringatan bahawa satu protes bagi menuntut tindakan terhadap Zamri akan diadakan jika pihak berkuasa masih tidak mengambil tindakan lanjut.

Arun Dorasamy berkata dia hanya menggunakan hak perlembagaan untuk bersuara mengenai kegagalan penguatkuasaan undang-undang dan menyeru perhimpunan aman.

Zamri Vinoth

“Jika polis dan agensi gagal bertindak, kami akan gunakan hak kami untuk ke jalan raya. Ini ikhtiar terakhir dan tiada yang akan dapat halang kami.

“Itu adalah hak saya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012. Ia bukan satu hasutan,” katanya.

Dia juga memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengutus surat kepada istana untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara itu.

Selain itu, Arun Dorasamy berkata dia akan memfailkan saman sivil terhadap Zamri kerana mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina ritual kavadi Hindu.

Semalam, polis membuka kertas siasatan terhadap Arun Dorasamy yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata polis menerima laporan berhubung kes itu di Batu Kawan, Pulau Pinang semalam, berkaitan video di aplikasi WhatsApp menunjukkan kenyataan Arun Dorasamy yang didakwa berbaur hasutan dan menyentuh isu agama, kaum serta institusi diraja (3R).

Katanya, video terbabit turut menyentuh pihak keselamatan dan Perdana Menteri Malaysia.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada video berdurasi sembilan minit di laman Instagram, Arun Dorasamy didakwa mengatakan Zamri adalah Hindu murtad, selain menyoal adakah polis menunggu rusuhan perkauman sebelum bertindak ke atas pendakwah kontroversi itu.

Pada 12 Mac lalu, Razarudin berkata polis telah merakam keterangan Zamri, namun tiada maklumat lanjut diberikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen