Anwar Ibrahim hari ini membidas pihak yang mengkritik langkah kerajaan memberikan suntikan tunai RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) yang dibelenggu hutang.
Sambil menegaskan bahawa pembiayaan itu hanya akan digunakan secara eksklusif untuk membayar balik vendor, Perdana Menteri berkata, jika tidak berbuat demikian dia akan tetap dikecam atas alasan yang lain pula.
"Daripada kira-kira 2,000 vendor, 80 peratus daripadanya adalah bumiputera yang telah menyumbang (kepada Sapura Energy). Bagaimana mereka (vendor) boleh dihukum?
“Kalau saya tak tolong, (dituduh) Anwar khianat (sebab) dia bukan lagi bantuan perjuangakan nasib bumiputera, dia hanya jadi jurucakap DAP.
“Kalau kita buat, dia kata: oh ini kita bantu (syarikat terbabit).
“Saya tak bantu selamatkan tauke-tauke kaya. Wang itu setiap sen terus (dibayar) kepada vendor yang telah bekerja (untuk Sapura Energy) dan tidak dapat bayaran,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam perhimpunan bulanannya Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar juga menambah, suntikan dana yang diberi kerajaan melalui syarikat tujuan khas itu bukanlah berbentuk 'hangus' sebaliknya perlu dibayar semula oleh Sapura Energy.
Anwar juga mendakwa pengkritiknya menyebarkan pembohongan walaupun semasa Ramadan apabila mendakwa mereka kurang maklumat dan pada masa sama enggan mencari fakta.
Mengakui kerajaan sedar isu yang melanda Sapura Energy, Anwar menambah, langkah mengabaikan syarikat itu sekarang adalah seolah-olah menghukum para vendor terbabit sedangkan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.
Pada masa sama dia menegaskan, langkah membiarkan Sapura Energy gulung tikar akan membuat negara bergantung kepada syarikat asing.
"Sekiranya (Sapura Energy) ditutup, tidak akan ada syarikat (tempatan) untuk beroperasi dalam sektor hiliran - semuanya adalah syarikat asing," katanya.