malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Keluar Umno: Zahid nasihat Zafrul jangan tergesa-gesa buat keputusan
ADS

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia telah menasihati Tengku Zafrul Abdul Aziz agar tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan untuk menyertai PKR, susulan desas-desus dia menimbang untuk berbuat demikian sebelum ini.

Mengakui yang Tengku Zafrul ada menyatakan hasrat untuk meninggalkan Umno, Ahmad Zahid berkata dia memberikan nasihat tersebut ketika bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu minggu lalu.

"Saya memperakui bahawa dia telah bertemu dengan saya minggu lalu dan saya telah memberikan pandangan parti bahawa dia tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan sekarang kerana dia adalah menteri, dia juga ketua Umno Kota Raja.

"Dia juga adalah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dipilih dan menang, jadi tidak perlu tergesa-gesa.

“Jadi dalam keadaan itu dia bersetuju dengan saya dan insya-Allah setakat hari ini dia masih lagi ahli Umno," katanya ketika ditemui pemberita di majlis buka puasa MKT Umno di Kuala Lumpur, hari ini.

Tengku Zafrul Abdul Aziz

Pada Disember tahun lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat perbincangan awal dalam parti itu berhubung desas-desus penyertaan Tengku Zafrul.

Anwar berkata PKR bersikap terbuka terhadap penyertaan mana-mana individu termasuk ke dalam parti itu asalkan individu berkenaan boleh memberi sumbangan kepada parti.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu tidak akan "menerima dan membenarkan" lompat parti bagi mana-mana anggota kerajaan campuran.

Pada 10 Februari lalu, Tengku Zafrul berkata dia akan berbincang dengan Ahmad Zahid terlebih dahulu sebelum membuat keputusan berhubung perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen