malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Ismail Sabri: 'Wang, jongkong emas tiada kaitan dana politik Umno'
ADS

Umno sekali lagi menegaskan penemuan wang tunai dan jongkong emas dalam siasatan membabitkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob tiada kaitan dengan parti itu.

Presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata wang tunai dan emas yang disita SPRM itu tiada kaitan langsung dengan dana untuk pilihan raya Umno.

"Kita berpendirian bahawa Umno tidak pernah terlibat dengan wang dan jongkong emas yang telah disita oleh SPRM.

"Ia tidak ada kaitan langsung untuk dana politik ataupun kutipan yang dibuat oleh Umno," katanya lagi, sambil menambah Umno menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan kes itu secara telus dan adil.

ADS

Esok SPRM dijangka akan mengambil keterangan Ismail Sabri yang kini merupakan suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.

Ismail Sabri Yaakob

Pada 3 Mac lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes tersebut susulan penemuan wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta dalam serbuan di sebuah premis yang dikaitkan dengan empat pegawai Ismail Sabri.

SPRM turut menyita 13 akaun membabitkan lebih RM2 juta bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata kes tersebut tidak akan memberi sebarang kesan kepada Umno.

Dia berkata siasatan terhadap Ismail Sabri bersifat peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan Umno.

"Dalam hal ini, Umno menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan dan jika tindakan perundangan sekalipun, ia terserah kepada SPRM dan juga Jabatan Peguam Negara," katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen