Susulan kejayaan menternak ikan talapia di kediaman rasminya, di Petaling Jaya, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, kini menanam bawang
Dalam satu hantaran di Facebook, hari ini, dia yang mesra dengan panggilan Bang Mat atau Mat Sabu memaklumkan bahawa dia memanfaatkan ruang kosong di kediamannya dengan menyemai benih bawang rose Ehsan.

"Bang Mat memanfaatkan kawasan yang ada di kediaman rasmi menteri dengan menyemai 1,000 benih bawang rose Ehsan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Datuk Dr Mohamad Khairil.
"Kaedah yang Bang Mat gunakan ialah 'Raised Garden Box' supaya tanaman lebih teratur dan mudah untuk diuruskan," katanya.
Mohamad juga memaklumkan bahawa dia sebelum ini telah berkunjung ke Selangor Fruit Valley untuk melihat penanaman bawang rose Ehsan di kawasan seluas 10 hektar.
Dia turut berkongsi gambar-gambar menerusi hantaran itu yang memaparkan dia sedang berkaki ayam sambil menyemai benih.
"Usaha ini selaras dengan komitmen kita bersama dalam memastikan keterjaminan makanan negara. Insya-Allah, semoga usaha ini membuahkan hasil yang bermanfaat," katanya.

Pada November lalu, media melaporkan, Projek Tanaman bawang rose Ehsan oleh PKPS di Selangor Fruit Valley berjaya mengeluarkan sebanyak 28 tan bawang merah kecil bagi fasa pertama tuaian.
Ia membabitkan tanah seluas 3.2 hektar.
Projek keseluruhan tanah seluas 10 hektar itu dibahagikan kepada tiga fasa masing-masing 3.2 hektar bagi fasa pertama serta masing-masing 3.6 hektar untuk fasa kedua dan ketiga.

