malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Zahid: Pindaan akta Orang Asli dibentang pertengahan tahun depan
ADS

Draf pindaan terhadap Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) hampir siap dan akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pertengahan tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata pindaan itu bertujuan menambah baik beberapa perkara termasuk isu tanah, infrastruktur, pendidikan, perumahan dan ekonomi masyarakat Orang Asli.

"Akta itu akan dipinda setelah lebih 70 tahun dan beberapa aspek sedang diambil kira untuk dimasukkan dalam ubah suai akta ini terutamanya isu tanah atau kawasan rayau kerana terdapat pertikaian antara komuniti itu dan tuan tanah, pihak swasta dan kerajaan negeri.

"Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) akan ke New Zealand membuat kajian perbandingan antara Akta Orang Asli di sana dan dijadikan panduan terhadap pindaan akta ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) (Zon Tengah) 2025 di Seremban semalam.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata libat urus mengenai pindaan akta tersebut turut melibatkan Tok Batin dan pimpinan Orang Asli serta para intelektual.

Ahmad Zahid Hamidi

Terdahulu dalam ucapannya, Zahid memuji komitmen Jakoa dalam pembangunan pendidikan Orang Asli dengan pencapaian 550 anak golongan itu memasuki universiti tahun lepas, melebihi sasaran awal ditetapkan 400 pelajar.

Sementara itu, dia mengingatkan masyarakat supaya mengelakkan pembaziran makanan ketika Ramadan.

Dia berkata statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mendapati negara membazirkan 75,000 tan makanan pada Ramadan 2023 iaitu meningkat 15 hingga 20 peratus berbanding bulan lain dengan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan ketara.

“Lebih membimbangkan, setiap tahun negara melupuskan 8.3 juta tan sisa makanan iaitu setiap individu menyumbang sekitar 260 kilogram setahun, ironinya, 4,005 tan atau 24 peratus daripadanya masih boleh dimakan.

“Pembaziran ini jika dapat dielakkan, kita dapat gunakan lebihan makanan itu untuk disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Jadi saya ingatkan diri sendiri dan semua supaya tidak melakukan pembaziran,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen