SPRM akan meneliti “versi penuh dan tidak disunting” video yang didedahkan oleh seorang pemberi maklumat sejak November tahun lalu berhubung skandal rasuah di Sabah.
Menurut The Star, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata semakan tersebut untuk mengesahkan kredibiliti dan ketulenan video sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya berpegang pada kenyataan saya sebelum ini. Sejak tahun lalu dan setakat 9 Disember 2024, saya tetap menyatakan kami memerlukan bukti yang kukuh dan sahih.
“Hari ini (11 Mac), bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, mengeluarkan kenyataan bahawa seorang pemberi maklumat telah menyerahkan bukti video kepadanya, yang menurutnya adalah asli,” katanya di Kota Kinabalu.
Terdahulu, Latheefa memaklumkan bahawa Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek akan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekitar jam dua petang untuk menyerahkan pemacu USB serta peranti asal yang digunakan oleh pemberi maklumat untuk merakam video berkaitan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, speaker DUN Sabah dan lapan Adun negeri itu.

Menurutnya, ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert telah datang ke pejabatnya di Petaling Jaya semalam untuk bertemunya dan Zaid, di mana mereka turut menonton semua video berkenaan.
Tiada perlindungan pemberi maklumat
Menurut The Star, Azam menjelaskan Albert sebelum ini telah dipanggil dan disoal siasat oleh SPRM, namun identitinya tidak pernah didedahkan.
“Mungkin kini peguamnya telah membenarkan identitinya didedahkan. Untuk rekod, Albert sebelum ini telah disoal siasat SPRM dan polis bagi kes lain. Sekali lagi, tugas kami adalah untuk menyiasat,” katanya.
Bagaimanapun, Latheefa mendakwa Albert telah diancam daripada “atas” agar tidak terus berhubung dengan SPRM dan mendesak agar lelaki diberi perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
Menjawab perkara itu, Azam dipetik sebagai berkata: “Pada peringkat ini, dia tidak dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.”
Dia juga memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara adil dan profesional, tanpa mengira latar belakang mana-mana individu yang terlibat.
“Kami akan bertindak mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Albert mengaku memberi rasuah, seterusnya menimbulkan persoalan sama ada dia juga akan dikenakan tindakan oleh SPRM atau tidak.
Pada bulan lalu, Azam berkata cabaran terbesar dalam menyiasat skandal rasuah tersebut adalah kekurangan maklumat, dan laporan Malaysiakini mengenai kes itu masih tidak memadai untuk membolehkan siasatan diteruskan.
‘Tak boleh guna video disunting’
Hari ini, Azam berkata video yang telah disunting tidak boleh dijadikan bukti.
“Kami merujuk perkara ini dengan pegawai perundangan di SPRM serta pakar undang-undang lain. Siasatan kami berpandukan undang-undang, bukan persepsi umum.
“Selain itu, keputusan mahkamah terdahulu termasuk Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan turut menjadi rujukan. Video yang dikeluarkan oleh Malaysiakini sebelum ini, kesemuanya lapan video, telah disunting.
“Mahkamah dan jabatan forensik kami, yang diiktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia, telah mengesahkannya. Video yang disunting tidak boleh dianggap bukti yang sah,” katanya lagi.
Katanya lagi, sebarang bukti video baru perlu disahkan ketulenannya sebelum boleh dipertimbangkan dalam siasatan.
Mahkamah tidak menerima ramakan yang telah disunting atau diubah sebagai bahan bukti, katanya lagi.
“Mahkamah tidak menerima rakaman yang telah dieatau diubah sebagai bukti yang boleh diterima,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam berkata SPRM juga sedang menyiasat video terbaru yang memaparkan perbincangan melibatkan Speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya.

Kadzim didakwa menerima RM350,000 berkaitan skandal yang sama.
"Apabila keluar lagi video dan sebagainya, kita ambil video itu dan kita akan kaji sama ada ia tulen ataupun tidak. Sebarang video atau audio yang telah disunting ataupun diubah suai dan sebagainya.
"Jadi, dia (speaker) belum lagi dipanggil buat masa sekarang. Kita perlu menganalisis bukti dan melihat sejauh mana ia benar. Jika ia perlu disiasat, barulah kita siasat," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Pemberi maklumat turut mendakwa Kadzim menyalahgunakan jawatannya untuk meminta projek daripada Hajiji, satu dakwaan yang telah dinafikan Kadzim sebagai “pembohongan” yang bertujuan mencemarkan reputasinya.