malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tuntut tanah adat: Pemimpin Orang Asli tunjuk tinggalan sejarah di mahkamah
ADS

Peralatan batu bersejarah seperti pisau, kapak dan alat pengasah menjadi antara bukti dalam saman masyarakat Orang Asli Temiar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, dalam usaha mereka untuk mendapat pengiktirafan undang-undang ke atas tanah adat mereka di Kampung Kelaik di Gua Musang.

Komuniti tersebut memfailkan saman pada Mac 2021 terhadap 14 defendan, termasuk kerajaan Kelantan, bagi menuntut hak pemilikan mereka. terhadap 14 defendan, termasuk kerajaan negeri Kelantan.

Sejak dari tempoh itu, mereka mendapati kandungan logam berat yang tinggi dalam darah mereka, susulan siasatan Malaysiakini terhadap sungai di Kampung Kelaik yang terletak di hilir lombong bijih besi. Sungai itu telah bertukar warnanya, menjadi merah berkarat.

Ketika diminta menjelaskan gambar-gambar tinggalan sejarah tersebut, Ketua Jawatankuasa Bertindak Kampung Kelaik Ahak Uda, 58, yang menjadi saksi pertama dalam saman tersebut, berkata: “Ya, ini adalah batu asah, batu jex dan batu pisau yang digunakan oleh nenek moyang kami.”

Berbanding peratalan sebenar, gambar-gambar ini digunakan sebagai bukti terutamanya untuk memelihara keadaan peratalan serta mengelakkan kerosakan atau kehilangannya.

Ahak merujuk kepada tinggalan batu yang terdiri daripada alat pengasah, pisau dan kapak yang telah ditunjukkan kepada Malaysiakini semasa kunjungan pada Oktober lalu.

“Kami percaya nenek moyang kami membawa alat-alat ini ke dalam gua (yang terletak di tanah warisan mereka), dan setiap satu mempunyai fungsi yang berbeza.

“Batu asah digunakan untuk mengasah batu pisau, batu jex berfungsi sebagai kapak, dan batu pisau digunakan untuk memotong,” katanya kepada mahkamah hari ini.

Satu lagi alat yang diperkenalkan kepada mahkamah ialah batu rai, yang digambarkan oleh Ahak sebagai alat untuk mengawal gajah.

“Kami percaya bahawa ia berasal daripada gigi gajah yang tercabut atau bangkai gajah.

“Bagi komuniti Orang Asli di Kelaik, batu rai merupakan simbol perlindungan dalam konflik antara manusia dan gajah.

“Dengan keberadaannya, gajah tidak pernah memusnahkan tanaman kami, membolehkan kami hidup bersama secara harmoni dengan haiwan ini,” kata Ahak kepada mahkamah.

Ahak Uda (dua dari kiri)

Semalam, mahkamah diberitahu yang kegiatan pembalakan, perlombongan dan perlandangan di tanah itu telah teruk menjejaskan cara hidup Orang Asli di sana.

Pihak plaintif yang diwakili peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal, Rajesh Nagarajan, dan Ambbi Balakrishnan mempunyai tujuh saksi yang dijadual memberi keterangan dalam tempoh empat hari perbicaraan.

Rajesh berkata mahkamah masih belum menetapkan tarikh untuk pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.

Ketegangan di dalam dan luar mahkamah

Sejumlah 14 defendan yang dinamakan dalam saman ini ialah Syarikat Perlombongan Gua Musang Sdn Bhd, Redstar Capital Sdn Bhd, Aqua Orion Sdn Bhd, Damai Corporate Services Sdn Bhd, Sindiyan Sdn Bhd dan Sindiyan Agro Park Sdn Bhd.

Defendan lain termasuk Ladang Kelantan Sdn Bhd, Ikrar Bumi Sdn Bhd, Ladang Ulu Nenggiri Sdn Bhd, dan Iliasco Engineering & Construction Sdn Bhd.

Sementara itu, agensi kerajaan yang dinamakan dalam saman ini ialah Pejabat Tanah dan Galian Kelantan, Jabatan Perhutanan Kelantan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), dan kerajaan Kelantan.

Sejak perbicaraan di depan hakim Hasbullah Adam bermula semalam, suasana tegang dapat dirasai di dalam dan di luar Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Di luar mahkamah, sekurang-kurangnya 100 Orang Asli dari Kampung Kelaik dan kampung-kampung sekitar - lengkap dengan hiasan kepala tradisional - menunggu dengan penuh debaran untuk mendapatkan perkembangan perbicaraan.

Di dalam mahkamah pula, ruang sesak dan dipenuhi sekurang-kurangnya 20 peguam yang mewakili pihak defendan.

Aktivis Orang Asli Eliana Tan, yang datang ke Kota Bharu untuk mendokumentasikan perbicaraan, berkata para penduduk ke mahkamah dengan dua buah bas.

“Penduduk kampung, terutamanya mereka dari kampung berdekatan, berkata kes ini sangat penting kerana jika mereka menang, ia akan menjadi duluan bagi kes-kes di masa akan datang,” kata Eliana, yang juga terlibat dengan kumpulan pembikin filem wanita Orang Asli – Apa Kata Wanita Orang Asli.

Berjuang Habis-habisan

Ahak berkata: “Saya membawa kes ini ke mahkamah untuk menentukan secara muktamad sama ada penduduk Kampung Kelaik berhak ke atas tanah mereka atau tidak.”

Komuniti ini telah menunggu ketibaan hari perbicaraan sejak memfailkan saman pada 2021. Namun sepanjang tempoh itu, usaha mereka untuk menghalang pencerobohan telah berulang kali ditolak, sehingga di peringkat Mahkamah Persekutuan pada 2022.

Sementara itu, sebagai respons kepada soalan mengenai tanah adat Kampung Kelaik dalam Kamar Khas Parlimen, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Rubiah Wang berkata Jakoa menyelia lebih 8,000 hektar tanah yang telah diwartakan bagi melindungi kebajikan penduduk Orang Asli, tetapi sebarang kelulusan tidak melalui jabatan itu melainkan jika aduan dibuat.

Rubiah menjelaskan bahawa tanah tersebut telah ditetapkan sebagai “tanah adat" dan diwartakan sebagai tanah rizab Orang Asli mengikut undang-undang yang mentadbir pihak berkuasa negeri, khususnya Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (Akta 828), di mana setiausaha kerajaan negeri bertindak sebagai penyelia.

Namun, Ahak memberitahu Malaysiakini bahawa banyak pihak yang telah memberitahu komuniti Temiar yang mereka tiada hak ke atas tanah tersebut.

“Itulah sebabnya saya lakukan segala yang termampu untuk berjuang mendapatkan pengiktirafan,” katanya.

“Jika hakim memutuskan kemenangan berpihak kepada kami, ia akhirnya akan mengesahkan bahawa tanah ini memang hak milik kami,” ujar Ahak.

Anaknya, Azlan Ahak, didapati mempunyai tahap kromium dalam darah yang mendedahkannya kepada risiko seumur hidup untuk menghidap kanser—dengan anggaran 64,000 kali lebih tinggi daripada tahap risiko normal.

Azlan, 20, adalah individu termuda daripada enam penduduk kampung yang membuat ujian darah secara sukarela di sebuah makmal bebas yang dilantik oleh Malaysiakini tahun lalu.


Baca: Orang Asli harungi ‘sungai maut’ - melawan lombong bijih di hutan Kelantan


Susulan laporan Malaysiakini, sebuah lombong didapati beroperasi secara haram, dan kedua-dua operasi perlombongan telah dihentikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kementerian itu juga telah memulakan siasatan dalaman mengenai bagaimana sebuah lombong bijih besi boleh beroperasi selama sembilan tahun tanpa penilaian impak alam sekitar (EIA).

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut mengumpulkan sampel biologi daripada penduduk kampung untuk dianalisis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen