Pemuda Amanah menyanggah dakwaan Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari yang dikatakan cuba memberi gambaran bahawa perdana menteri berbohong dalam soal pendapatan ahli parlimen.
Exco Pemuda Amanah Nasional Nash Nahar menegaskan pendapatan Ahmad Fadhli boleh mencecah lebih RM30,000 sebulan sekiranya dia tidak ponteng persidangan parlimen.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelar pembangkang kerana sengaja memainkan mengenai isu peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sehingga ada yang mengatakan mereka mengalami beban kewangan dan perlu berhutang. Sedangkan, katanya pendapatan dan elaun setiap wakil rakyat menjangkau sehingga RM40,000 sebulan.
“Maka, rajin-rajinlah ke parlimen dan laksanakan tugas-tugas rasmi tersebut.
“Berdasarkan maklumat rasmi, ahli parlimen biasa menerima pendapatan yang merangkumi pelbagai elaun selain gaji asas mereka,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu ketua penerangan PAS itu dalam hantaran di Facebook menempelak Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam isu berhubung pendapatan ahli parlimen.
“Marilah kita sama-sama berdoa di bulan Ramadan ini agar dibukakan pintu hidayah untuk perdana menteri kita berkata benar dan tidak menokok nambah sesuatu fakta ketika menyampaikan ucapan,” katanya.
Bekas ketua Pemuda PAS itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang menyatakan gaji ahli parlimen boleh mencecah RM40,000 sebulan.
Sementara itu Nash turut menyenaraikan gaji dan elaun-elaun yang dinikmati oleh seorang ahli parlimen seperti berikut:
Elaun asas - RM16,000
Elaun keraian - RM2,500
Elaun pemandu - RM1,500
Elaun tetap perjalanan - RM1,500
Elaun bahan api - RM1,500
Elaun tol - RM300
Elaun telefon - RM900
Bayaran khas untuk ahli parlimen bukan anggota pentadbiran - RM1,500
Elaun kehadiran sidang parlimen - RM400 sehari (jika 20 hari persidangan: RM8,000)
Elaun kehadiran mesyuarat jawatankuasa - RM300 sehari (Jika lima hari mesyuarat: RM1,500)
Tambahnya, anggaran pendapatan bulanan RM35,700 ini membuktikan bahawa pendapatan seorang ahli parlimen biasa boleh mencecah lebih RM30,000 sebulan, bergantung kepada kehadiran mereka dalam sidang dan mesyuarat rasmi.
“Oleh itu, dakwaan bahawa elaun ahli parlimen tidak mencapai RM30,000 adalah tidak benar.
“Masalahnya sikap malas ahli parlimen pembangkang dan ditambah tidak efektif dalam menjalankan semak imbang terhadap polisi dan dasar kerajaan dalam sidang parlimen, saya amat bersetuju peruntukan ahli parlimen pembangkang ini tidak perlu diberikan.
“Lebih baik peruntukan tersebut terus diberikan kepada rakyat menggunakan saluran lain. Tunjukkan komitmen anda di parlimen dahulu sebelum tuntut itu dan ini. Jadi sekarang, anda atau Anwar yang berbohong?” soalnya lagi.

