malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Bertahun tak bayar sewa, MBS tanggalkan pintu rumah pangsa
Diterbitkan:  Mar 11, 2025 11:53 AM
Dikemaskini: 4:44 AM
ADS

Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bertindak menanggalkan pintu rumah pangsa kos rendah di Lobak susulan kegagalan penyewa yang gagal membayar sewa sejak bertahun-tahun.

Beberapa penghuni dikatakan gagal membayar sewa bulanan sebanyak RM150 selama beberapa dekad, sehingga menyebabkan tunggakan menjadi puluhan ribu ringgit. Tindakan penguatkuasaan itu dilakukan terhadap mereka yang berhutang lebih RM15,000.

Semasa operasi di Lobak, MBS mendapati bahawa sebahagian penghuni rumah pangsa itu bukanlah penyewa sebenar seperti dalam rekod MBS. Ini menimbulkan kecurigaan bahawa sesetengah mereka menyewakan unit berkenaan kepada orang lain.

“Kita telah hantar notis dan juga amaran supaya puan bayar sewa yang tertunggak tetapi sehingga hari ini anda masih gagal, cuai, enggan membayar tunggakan.

“Jadi kita dari MBS di sini untuk mengambil tindakan selanjutnya dengan membuka pintu.

“Walaubagaimanapun kami dapati puan bukan penyewa sebenarnya. Macam mana puan boleh masuk rumah ini? Puan penceroboh, tau?” kata seorang pegawai yang dirakam memberitahu seorang penyewa dalam video MBS mengenai kejadian itu pada 27 Februari lalu.

Video itu dimuat naik ke laman Facebook MBS semalam.

Rumah pangsa berkenaan yang disewakan didapati mempunyai tunggakan sebanyak RM34,000, kata pegawai itu. Ini adalah lebih daripada 18 tahun sewa yang belum dibayar.

“Rumah ini rumah majlis kita sewa RM150 sebulan. Bukan rumah kebajikan.,” katanya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, MBS berkata operasi di Lobak tertumpu kepada enam penyewa yang mempunyai tunggakan tertinggi iaitu di antara RM17,000.00 hingga RM34,000.00.

Mereka telah diberi notis penamatan perjanjian penyewa pada 31 Januari lalu dan tempoh pengosongan rumah juga telah berakhir pada 26 Februari lalu.

“Setelah tamat tempoh dan peluang yang diberikan, MBS telah mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terlibat sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.

“Walaupun begitu, penyewa masih dibenarkan tinggal di premis berkenaan untuk sementara waktu sebelum dapat menjelaskan tunggakan atau mendapatkan kediaman di tempat lain,” kata MBS.

Ini bukan kali pertama MBS bertindak sedemikian.

Pada Disember lalu, tindakan sama telah diambil terhadap penyewa di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi.

Majlis itu berkata ia akan terus mengambil tindakan penguatkuasaan tetap terhadap penyewa yang ingkar dan menasihatkan penyewa agar agar menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang telah ditetapkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen