Selepas iklan kerja yang disifatkan berbaur diskriminasi, rantaian kedai minuman Mixue menyorot kepelbagaian kaum dalam kalangan kakitangannya melalui kempen 'Make Us One'.
Pengguna Instagram Mohaneyyy sebelum ini mempertikaikan iklan jawatan kosong di cawangan Mixue di Sri Sinar, Segambut beberapa hari lalu.
Iklan itu menyatakan “Melayu dan Cina dengan pengalaman” sebagai kriteria - yang memberi gambaran kaum India tidak dialu-alukan untuk memohon.
Iklan berkenaan juga menyatakan ia adalah bagi kekosongan anggota kru perkhidmatan dan penyelia, dengan menyatakan bahawa gaji boleh dirundingkan semasa sesi temu duga.
Netizen, bagaimanapun, mempertikaikan kriteria "Melayu dan Cina berpengalaman", dengan ramai yang menuduh ia sebagai mendiskriminasi masyarakat India.
“Jadi, orang India (dan lain-lain) boleh menjadi pelanggan, tetapi tidak dianggap cukup layak untuk menjadi pekerja? Mengapa kami diketepikan daripada peluang pekerjaan seperti ini?” soal Mohaneyyy dalam hantarannya.
“Setiap orang berhak mendapat peluang yang sama untuk bekerja, tanpa mengira kaum mereka. Ini tahun 2025, bukankah kita patut menuju ke arah keterangkuman, bukan diskriminasi?” tambahnya.
Mengulas mengenai siaran itu, seorang pengguna menegaskan bahawa poster itu telah dialihkan dari premis kedai. Dia menambah bahawa walaupun dia diberitahu tiada penyelia mahupun pengurus untuk bertemu dengannya, dia masih akan menghantar e-mel mengenai keluhannya kepada Mixue.
Selain menghujani kritikan terhadap iklan pekerjaan itu sambil menggesa pengurusan syarikat dan ahli parlimen menangani isu itu, beberapa netizen juga menggesa boikot jenama Mixue.
Terdapat juga netizen yang mempersoalkan sama ada kriteria itu mungkin merujuk kepada bahasa dan bukannya kaum.
Walaupun Mixue masih belum mengeluarkan respons mengenai isu itu, ia telah memuat naik ke platform media sosialnya dua siaran pada kempen 'Make Us One', yang cuba menekankan kepelbagaian kaum dalam kalangan kakitangan.

Satu siaran, yang dikongsi petang semalam, termasuk tulisan ringkas mengenai pertumbuhan kerjaya tiga pekerja bernama Ashnawi, Jamaliah dan Chan Pui Lai.
"Daripada krew kedai kami yang mesra kepada pasukan berdedikasi di belakang tabir, setiap pekerja Mixue adalah sebahagian daripada keluarga besar kami," kata syarikat itu dalam keterangan untuk siaran itu.
Maklum balas kepada siaran Mixue pada kempen itu adalah minimum setakat ini.
Malaysiakini telah menghubungi Mixue Malaysia untuk mendapatkan ulasan mengenai perkara itu, tetapi masih belum menerima maklum balas.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Mixue mempunyai lebih 45,000 cawangan di seluruh dunia setakat Sept 2024, mendahului rangkaian makanan segera McDonald's dengan 42,000 cawangan di seluruh dunia.