Menteri Digital Gobind Singh Deo menggesa polis dan peguam negara untuk bertindak segera terhadap mana-mana pihak yang membuat hasutan kebencian agama dan kaum.
“Kita tidak boleh dan tidak harus membiarkan kenyataan yang menghina agama dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Gobind, walaupun terdapat peruntukan undang-undang untuk menangani situasi sebegini, ia tidak bermakna jika tidak dikuatkuasakan.
“Tindakan mesti diambil untuk menghantar mesej jelas yang kita tidak akan bertolak ansur terhadap penghinaan ke atas mana-mana agama dan ada akibatnya bagi mereka yang berbuat demikian,” katanya lagi.
Tanpa merujuk sebarang nama atau insiden tertentu, Gobind berkata isu tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lalu, di mana keputusan dibuat bahawa tindakan tegas mesti diambil untuk kes seumpama itu.
“Laporan polis telah dibuat dan saya dimaklumkan kenyataan telah diambil daripada pelbagai individu.
“Namun kita masih melihat perkara ini berulang, yang semakin merumitkan keadaan,” katanya lagi.
Ketegangan agama terbaru tercetus susulan satu video kontroversi yang menampilkan tiga penyampai radio Era FM memaparkan salah seorang daripada mereka sedang menari manakala seorang lagi melaungkan “Vel Vel”.
Video itu mengundang kecaman dan susulan itu, ketiga-tiganya - yang telah membuat permohonan maaf - digantung tugas.
Di tengah-tengah kontroversi tersebut, pendakwah bebas Zamri Vinoth membuat hantaran di Facebook yang menyamakan pembawa kavadi semasa Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Zamri juga membangkitkan kematian anggota bomba, Adib Kassim dalam rusuhan di luar sebuah kuil Hindu di Selangor pada 2018.
Hantaran itu kini dalam siasatan polis dan MCMC, serta dikecam antaranya oleh Timbalan Presiden MIC M Saravanan dan Ahli Parlimen DAP RSN Rayer.
Selain mencabar Zamri untuk berdebat, Saravanan turut menggesa agar dia ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

