Keluarga pempengaruh dari United Kingdom (UK) mendakwa melalui pengalaman buruk semasa kunjungan ke Malaysia baru-baru ini susulan sikap perkauman terhadap orang berkulit gelap.
Dalam video yang dimuat naik di Instagram dan YouTube The Mwitis lewat malam tadi, Ray Mwiti - yang merupakan warga Kenya - memperincikan bagaimana pengawal keselamatan di sebuah bangunan pangsapuri di Malaysia didakwa telah bertindak meremehkannya apabila dia cuba mendaftar masuk ke dalam kediaman itu.
Bapa kepada dua anak yang kelihatan keletihan itu berkata, pengawal berkenaan mempertikaikan sama ada dia telah membayar untuk penginapan, jumlah yang telah dia bayar dan jika dia "pasti" dia berada di lokasi yang betul.
“(Pengawal itu) hanya menyoal saya seolah-olah saya budak-budak. Saya sangat marah, (tetapi) saya cuba bertenang... Saya rasa mahu menangis,” kata Ray dalam klip berdurasi dua minit itu.
Menyedari bahawa isteri dan dua anaknya yang masih kecil terpaksa menunggu sementara dia menyelesaikan masalah itu selepas keluarga itu menempuh perjalanan kira-kira dua jam dari lapangan terbang, Ray berkata bahawa dia akhirnya berjaya mencari kunci unit pangsapurinya.
Selepas itu, dia berkata pengawal hanya meminta pasportnya dan memberikannya borang untuk maklumat tambahan.
“Sejujurnya, itu adalah pengalaman terburuk saya pernah lalui... (pengawal) tidak meminta maaf. Jika ini adalah Malaysia (maka) bawa saya keluar dari sini... jika ini sikap rakyat Malaysia, saya benar-benar tidak mahu berada di sini.
"Saya tidak akan mengatakan seluruh Malaysia bersikap buruk (kerana) terdapat beberapa orang baik sepanjang perjalanan, tetapi saya fikir rakyat Filipina telah melayan saya dengan sangat baik," tambahnya, merujuk kepada destinasi pelancongan keluarganya sebelum ini.

Ray berkongsi bahawa dia cuba melihat sisi baik kerana dia "jijik" dengan cara orang diprofilkan berdasarkan penampilan dan "dinilai tanpa sebarang merit di belakangnya".
"Jika anda berkulit hitam, anda tahu betapa sukarnya kadang-kadang," tambahnya.
Dalam video YouTube keluarga itu yang dimuat naik pada 11 Feb, keluarga itu berkongsi perjalanan mereka dari Manila ke Kuala Lumpur.
Satu klip dalam video empat minit itu menunjukkan ibunya, Amber Mwiti, yang merupakan warga Britain, duduk di tangga bangunan pangsapuri Malaysia bersama dua kanak-kanak yang sedang tidur. Amber juga berkata pengawal itu bertanya kepada suaminya "soalan pelik".
Video seterusnya yang dimuat naik oleh saluran itu pada 27 Feb berdurasi 26 minit ketika mereka di Georgetown, Pulau Pinang.
Lokasi sebenar kediaman pangsapuri yang dinyatakan dalam video tidak jelas.
Malaysiakini telah menghubungi keluarga itu serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas tambahan mengenai insiden itu.