malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN: Tak sampai 1% kerakyatan Malaysia diberi kepada warga China
Diterbitkan:  Mar 10, 2025 12:28 PM
Dikemaskini: Mar 11, 2025 7:55 AM
ADS

Warga China membentuk kurang daripada 1 peratus daripada jumlah individu yang diberi kewarganegaraan Malaysia sejak 2010 hingga tahun lalu, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam jawapan bertulis parlimen bertarikh 6 Mac, kementerian itu berkata rekod daripada Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan antara 2010 hingga 2024, hanya 0.91 peratus kelulusan kerakyatan Malaysia untuk individu dari China.

Indonesia mendahului senarai, dengan sebanyak 23.52 peratus mendapat kelulusan kerakyatan Malaysia, diikuti India (6.76 peratus), Thailand (5.02 peratus) dan Filipina (2.77 peratus).

Sebanyak 61.02 peratus daripada kerakyatan yang diluluskan telah diberikan kepada rakyat negara lain yang tidak dinyatakan dalam jawapan kepada pertanyaan lisan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin.

KDN bagaimanapun tidak memberikan angka sebenar atau jumlah keseluruhan daripada angka peratusan yang dinyatakan.

Pada 7 Nov tahun lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat bahawa sejak 2013, hanya 203 warga China diberikan kewarganegaraan Malaysia di bawah Seksyen 15(1) dan Seksyen 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

Menteri itu berkata angka itu bertentangan dengan dakwaan yang sering diulang bahawa terdapat kira-kira 1.2 juta warga China yang memasuki negara ini, tetapi tidak pernah keluar dan kemudiannya diberikan kewarganegaraan.

Dia juga menekankan bahawa dakwaan yang sama sebelum ini dinafikan oleh pendahulunya, ketua pembangkang Hamzah Zainudin dan Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

Pada 9 Nov, Saifuddin berkata polis akan menyiasat insiden seorang khatib yang didakwa menyebarkan dakwaan palsu bahawa Malaysia telah memberikan kerakyatan secara beramai-ramai kepada 1.2 juta warga China.

Khatib itu dilaporkan mengeluarkan dakwaan berkenaan semasa khutbah solat Jumaat di sebuah masjid di Padang Serai.

Sementara itu, KDN berkata antara 2010 hingga 2024, 35.55 peratus status penduduk tetap (MyPR) diberikan kepada warga Filipina, diikuti Indonesia (26.38 peratus), Thailand (8.73 peratus), India (5.99 peratus) dan Singapura (2.72 peratus).

Status pemastautin tetap juga diberikan kepada 20.63 peratus individu dari negara lain yang tidak disebut.

“Pengeluaran MyPR adalah selaras dengan Peraturan 3, Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).

"Peraturan ini menetapkan bahawa setiap individu yang bertaraf pemastautin tetap diwajibkan mendaftar dan memperoleh kad pengenalan dalam tempoh 30 hari dari tarikh mencapai umur genap 12 tahun atau dari tarikh yang tercatat pada permit masuk

yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen