Ahli Parlimen DAP RSN Rayer menggesa pihak berkuasa untuk segera menahan pendakwah bebas Zamri Vinoth selepas dia menyiarkan semula hantaran Facebook berhubung penganut Hindu.
“Walaupun hantarannya telah dipadam oleh pihak berkuasa dan dia telah dipanggil oleh polis untuk disoal siasat, Zamri tetap tidak menunjukkan rasa kesal.
“Dia terus menghasut dan menyemarakkan perpecahan kaum dan agama dengan menyiarkan semula kandungan berbaur provokasi serta menghina agama Hindu di halaman Facebooknya,” katanya.
Menggesa pihak berkuasa bertindak tegas tanpa berlengah, ahli Parlimen Jelutong itu menyifatkan Zamri sebagai ancaman serius terhadap keselamatan dan keharmonian negara.
“Zamri mesti ditangkap segera dan didakwa di mahkamah kerana dia secara terbuka mencabar undang-undang dengan berulang kali berkongsi hantaran berunsur hasutan serta tidak bertanggungjawab yang mengancam kestabilan dan keamanan negara.
“Polis mesti mengambil tindakan pantas untuk menunjukkan Zamri tidak kebal daripada undang-undang,” kata Rayer.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 5 Mac lalu telah meminta Meta untuk memadam hantaran Facebook Zamri yang membandingkan pembawa kavadi semasa Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Hantaran itu juga membangkitkan kematian anggota bomba, Adib Kassim dalam rusuhan di luar sebuah kuil Hindu di Selangor pada 2018.
Hantaran tersebut mencetuskan kemarahan ramai dan banyak laporan polis dibuat, sehingga ia akhirnya dipadam hari ini.
Polis dan MCMC kini sedang menyiasat Zamri, yang juga telah menerima cabaran debat daripada Timbalan Presiden MIC M Saravanan.
Sebelum ini, Saravanan menggesa pihak polis untuk menahan Zamri di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).