Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjelaskan pihaknya telah meminta Meta untuk memadam hantaran Facebook pendakwah bebas Zamri Vinoth pada 5 Mac lalu.
Hantaran tersebut membandingkan pembawa kavadi semasa Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau berada dalam keadaan mabuk.
Bagaimanapun, MCMC berkata keputusan untuk memadam kandungan yang didapati mengandungi unsur kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) itu terletak di tangan platform berkenaan.
“Keputusan untuk memadam kandungan dibuat oleh platform berdasarkan penilaiannya terhadap justifikasi yang diberikan serta garis panduan komuniti platform tersebut,” kata MCMC kepada Malaysiakini hari ini.
Meta akhirnya memadam hantaran itu pada hari ini.
Di bawah syarat pelesenan media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, platform media sosial yang memenuhi jumlah minimum pengguna – termasuk Meta – dikehendaki mematuhi CMA.
Bagaimanapun, tidak jelas jika Meta dan platformnya telah dilesenkan. Pada 17 Januari lalu, Meta menyatakan mereka di peringkat akhir proses pelesenan.
Hantaran Zamri tersebut mengulas insiden melibatkan tiga juruhebah radio Era FM yang disiasat apabila seorang daripada mereka menari manakala seorang lagi melaungkan “vel vel” - laungan yang sering didengar semasa Thaipusam apabila seseorang membawa kavadi.
Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, MCMC mengesahkan siasatan sedang dijalankan oleh pihaknya dan polis.
MCMC turut memaklumkan bahawa Zamri – yang hanya dikenali sebagai “suspek” dalam maklum balas suruhanjaya itu – telah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis di Perlis pada 6 Mac.
“Polis juga telah merampas peranti yang digunakan untuk membuat hantaran Facebook tersebut, dengan MCMC memberikan bantuan teknikal bagi membantu siasatan,” kata suruhanjaya itu lagi.