PKR berpendapat Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, serta pendakwah Zamri Vinoth perlu bertanggungjawab jika debat mereka membawa kesan kerosakan kepada negara.
Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR, Amidi Abdul Manan, berkata semua pihak mempunyai peranan memelihara keamanan dan kesejahteraan negara.
Sebagai ahli politik, kata Amidi, Saravanan bertanggungjawab memacu politik negara ke arh kestabilan, dan bukan sebaliknya memecah-belahkan masyarakat.
Tambahan pula, kata Amidi, ketika ini ekonomi negara sedang menuju ke arah pemulihan yang kesannya dirasai seluruh rakyat.
Selaku ahli politik, menurut Amidi, Saravanan patut membawa nilai tersebut.
“Sebagai seorang pendakwah pula, Zamri bertanggungjawab untuk memelihara prinsip dakwah seutuhnya.
“Dalam dakwah amalan mujadalah (berbahas) memang dibenarkan tetapi terkait kalimah ahsan (terbaik) yang merujuk kepada kaedah dan juga natijah perbahasan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Pandangan tersebut hadir ketika Saravanan dan Zamri dijadual bersemuka ekoran ketegangan yang berpunca daripada tindakan pendakwah terbabit membandingkan penganut Hindu yang membawa kavadi semasa Thaipusam dengan individu dirasuk atau mabuk.
Sudah minta maaf
Saravanan kemudian mengeluarkan cabaran berdebat dengan Zamri dan pada masa sama menggesa pihak berkuasa menangkap Zamri di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma.
Dalam respons segera, Zamri mengucapkan tahniah kepada Saravanan kerana "berani" mengadakan dialog dan menganggap ia mungkin kali pertama seorang ahli parlimen Hindu bersedia berbuat demikian di Malaysia.
Amidi berkata kesungguhan kedua-dua pihak sudah dilihat seolah-olah tiada ruang untuk berpatah balik.
“JPPA memberi amaran, kedua-dua individu ini mesti bertanggungjawab memastikan perdebatan, atau dialog terbuka - waima apa juga nama pun - mestilah mendatangkan kesan pengukuhan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Jika berlaku sebaliknya, kedua-dua mereka mesti memikul tanggungjawab untuk memulihkan keharmonian antara kaum di negara kita ini,” katanya.
Menurut Amidi, ada kemungkinan kesan daripada perdebatan itu nanti menjurus kepada keburukan atau memesongkan makna risalah Islam yang sebenar, sekali gus ia jauh daripada hikmah dakwah.
“Kita tidak mahu situasi menang jadi arang, kalah jadi abu yang menyukarkan lagi usaha pengukuhan kestabilan politik dan perpaduan warga Malaysia.
“Pihak yang menjadi punca kekeruhan ini telah pun meminta maaf bagi menjernihkan suasana.
“Tindakan undang-undang juga sedang diteliti oleh pihak wewenang,” katanya.

