malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Loke jumpa Guan Eng, pujuk tak tanding jawatan pengerusi - sumber
ADS

Dengan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya sembilan hari lagi, setiausaha agung parti itu Anthony Loke dikatakan bertemu pengerusi Lim Guan Eng untuk meyakinkannya tidak bertanding semula bagi meredakan ketegangan dalam parti.

Beberapa sumber yang mengetahui perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa Loke bertemu Lim minggu lepas, cuba memujuknya supaya tidak bertanding jawatan pengerusi parti meski kekal sebagai anggota CEC.

Bagaimanapun, menurut orang dalam, Lim tegas dengan pendiriannya, dan dia memberitahu Loke bahawa dia akan bertanding walaupun terdapat risiko menghadapi kekalahan.

“Mereka mengadakan perbincangan yang tenang dan mesra minggu lalu,” kata satu sumber.

ADS

Berita perkembangan ini dikatakan sudah tersebar di dalam parti.

Walaupun rundingan minggu lalu tidak membuahkan hasil yang diinginkan, difahamkan Loke tidak berputus asa dan akan melakukan usaha terakhir untuk meyakinkan Lim sebelum pemilihan pucuk pimpinan pada 16 Mac ini.

Percubaan Malaysiakini untuk mendapatkan pengesahan daripada Loke dan Lim tidak dijawab.

ADS

CEC DAP mengadakan mesyuarat terakhirnya pada malam Rabu.

Menurut seorang hadirin, mesyuarat tersebut dijalankan dalam suasana yang mesra.

Kongres Kebangsaan DAP ke-18 dan pemilihan CEC parti itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam pada 16 Mac jam 10 pagi.

Pemilihan CEC DAP mengikut proses dua peringkat. Perwakilan terlebih dahulu memilih 30 ahli ke dalam CEC, di mana sekurang-kurangnya sembilan daripadanya mestilah wanita, seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti.

Selepas pusingan pertama, 30 ahli CEC yang baru dipilih bersidang dan mengundi sesama mereka untuk melantik pemegang jawatan kepimpinan parti termasuk setiausaha agung—jawatan tertinggi dalam DAP, setanding dengan peranan presiden dalam parti lain.

Dengan sistem ini, mana-mana pemimpin yang bercita-cita untuk jawatan tertinggi mesti memastikan mereka dan sekutu mereka memperoleh undi yang mencukupi pada pusingan pertama untuk berpeluang dalam pemilihan terakhir.

Menjelang kongres kebangsaan parti itu dan pemilihan kepimpinan minggu depan, Kelab Veteran Kebangsaan DAP akan mengadakan Kongres ke-6 dan pemilihan kepimpinan pada 9 Mac (Ahad) jam 10 pagi di Pulau Pinang.

Beberapa pemimpin kanan parti dijangka hadir. Menurut pengumuman pengerusi kelab itu, Lay Hock Peng akhir bulan lalu, Loke akan merasmikan acara itu. Hadirin lain termasuk veteran parti Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Guan Eng, dan Ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim.

Pada 15 Februari, satu insiden berlaku selepas makan malam penghormatan untuk Kit Siang di Pulau Pinang, apabila Tan Khong Chong, sekutu Guan Eng, secara terbuka mencerca Sim dengan kata-kata kesat dalam bahasa Hokkien, menggelarnya sebagai "pengkhianat".

Tan sejak itu telah meminta maaf, manakala Sim telah menyatakan bahawa dia tidak akan melanjutkan lagi perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen