malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Orang dewasa syak ada ADHD digalak buat pemeriksaan di hospital
Diterbitkan:  Mar 7, 2025 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM
ADS

Kerajaan menggalakkan orang dewasa yang mengesyaki mereka mempunyai gangguan hiperaktiviti defisit perhatian (ADHD) untuk mendapatkan diagnosis di hospital awam.

Dalam jawapan bertulis parlimen, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyatakan harapan supaya orang dewasa Malaysia, terutamanya mereka yang berasal dari latar belakang berpendapatan rendah, mendapatkan diagnosis dan rawatan yang sesuai untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

"Bagi individu dewasa yang mencari diagnosis dan rawatan untuk ADHD, hospital kerajaan yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menawarkan perkhidmatan psikiatri dengan kos yang lebih rendah.

"Namun, terdapat cabaran seperti kekurangan pakar yang berpengalaman dalam ADHD dewasa dan akses kepada ubat-ubatan tertentu," kata KPWKM dalam jawapan bertarikh 4 Mac.

ADS

Maklumbalas ini menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid (gambar atas) kepada KPWKM mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan akses terhadap rawatan dan diagnosis ADHD untuk orang dewasa, terutamanya mereka dalam kategori berpendapatan rendah.

ADHD gangguan neuroperkembangan dengan manifestasi tingkah laku seperti gelisah, impulsif, dan resah.

KKM meletakkan ubat ADHD di bawah Kategori A sebagai ubat terkawal yang tidak boleh dibeli tanpa preskripsi.

ADHD biasanya berlaku bersama gangguan lain termasuk gangguan yang mempengaruhi kualiti tidur serta gangguan pembelajaran.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.
ADS

Syerleena juga bertanya apa yang dilakukan kementerian itu untuk memastikan orang dewasa dengan ADHD mempunyai akses kepada peluang pekerjaan inklusif dan sokongan profesional.

KPWKM berkata mereka yang memenuhi syarat OKU boleh menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Individu dengan keperluan khas juga kata KPWKM boleh mendapat peluang pekerjaan yang adil melalui perkhidmatan jurulatih pekerjaan dan latihan kesamarataan kecacatan kementerian tersebut.

"Secara keseluruhannya, KPWKM telah mengambil langkah-langkah yang menyeluruh untuk memastikan individu dewasa dengan ADHD tidak hanya diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi juga diberi sokongan yang diperlukan untuk berjaya dalam persekitaran kerja.

"Kerjasama antara kementerian dan agensi yang berkaitan, pihak NGO serta organisasi swasta diharap memberikan hasil terbaik secara keseluruhan dalam menyediakan perkhidmatan sokongan kepada OKU di negara kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen