Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam setiap negeri disarankan memasukkan jenis ‘beras kartel’ dalam kadar bayaran zakat fitrah pada tahun ini.
Ketua pembangkang Hamzah Zainudin berkata ia susulan ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran sejak setahun lalu.
“Sekarang ini bulan Ramadan, rakyat nak beras. (Rakyat) Kuala Terengganu tak payah makan beras tempatanlah dan kalau dah tak makan beras tempatan, bulan ini kita bayar zakat, zakat beras mana yang kita nak bayar?
“Saya nak tanya kepada semua mufti harga beras mana yang kita nak kena bayar? Beras kartellah.
“Jadi saya minta mufti semua perbetulkan supaya ‘beras kartel’ dimasukkan untuk kita bayar zakat. Dah setahun kita makan ‘beras kartel’ ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Istilah ‘beras kartel’ dipercayai merujuk kepada beras tempatan yang dimanipulasi kumpulan tertentu termasuk dengan menyorok dan menukar bungkusan.
Kadar bayaran zakat fitrah bagi setiap negeri ditetapkan mengikut jenis beras yang digunakan.
Kategori beras itu termasuklah Beras Super Special Tempatan 5 peratus, Beras Hancur atau lain-lain yang setara, Beras Rebus, Thai White Rice, Beras Putih Import, Beras Perang atau lain-lain yang setara.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga ahli parlimen Larut membangkitkan bahawa kerajaan sebelum ini memaklumkan rakyat dapat menikmati beras tempatan bermula awal Mac.
Namun, Hamzah berkata hasil pemeriksaannya mendapati ia tidak berlaku.
Kata Hamzah apa yang berlaku itu menyebabkan timbul beberapa isu yang sebenarnya rakyat bertambah marah dengan kerajaan yang ada hari ini.
“Dia kata tak apa, 1 Mac, semua boleh dapat beras tempatan di mana-mana saja.
“Jadi, semalam saya minta pegawai saya tolong tengok di beberapa pasar raya dan dia dah melawat semalam di beberapa pasar raya Giant, Econsave Bangi, Giant Setapak.
“Di pasar raya Giant beras import paling murah RM33.10 untuk 10kg, di Econsave beras import paling murah RM30.90 bagi beras 10kg.
“Bagan Serai maklumkan pasar raya pesan 300 pek beras tempatan tetapi hanya yang diterima 20 pek beras sahaja. Inilah jawapan yang sebenarnya, yang telah diberikan kepada kita. Tidak ada jawapan, cuma kita pergi melawat dan tengok itulah yang berlaku.
“Hari ini yang dipersoalkan sebenarnya sepatutnya menteri kena bersedia dan menyelesaikan masalah ini sebelum bulan Ramadan,” katanya.
Isu tarif elektrik
Sementara itu mengulas isu berasingan, Hamzah turut membangkitkan persoalan berhubung jawapan yang diberikan kerajaan mengenai tarif elektrik di negara ini.
Menurut Hamzah, penegasan kerajaan berhubung pengumuman kenaikan tarif elektrik dilakukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum ini menimbulkan kekeliruan ramai.
“TNB telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan telah meluluskan tempoh Regulatori Keempat (RP4), bagaimanapun pada hari yang sama pada 26 Disember perdana menteri jawab kerajaan tak benarkan kenaikan tarif ini sehingga menjejaskan rakyat. Itu kenyataan perdana menteri.
“Kemudian Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof maklumkan tiada sebarang keputusan mengenai kenaikkan tarif elektrik bagi Semanjung sehingga kini. Itu jawapan timbalan perdana menteri pula dan pada 4 Mac 2025 pengumuman TNB tidak gambarkan keseluruhan keputusan kerajaan. Itu jawapan yang diberikan kepada saya.
“Dia kata pengumuman TNB itu adalah sesuatu yang menggambarkan keseluruhan keputusan kerajaan kerana pada ketika itu jadual tarif baru belum dimuktamadkan,” katanya.
Hamzah berkata kekeliruan isu itu akan menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur.
“Jadi, siapa yang betul ni? Saya soalkan itu, saya yakin TNB tak bersalah tapi saya sengaja soalkan TNB seolah-olah TNB yang bersalah kerana itu bayangan yang diberikan kerajaan kepada kita. Seolah-olah TNB telah melakukan sesuatu yang salah.
“Jadi, di sini, inilah yang menyebabkan kita lagi keliru dan menyebabkan kita…macam mana kita nak meyakinkan diri bahawa jawapan yang dibuat oleh kerajaan itu adalah jawapan yang tepat, jawapan yang tidak palsu. Ini yang menyebabkan saya mempersoalkan sekali lagi isu ini.
“Soalan-soalan ini yang timbul dan menyebabkan keyakinan bukan hanya rakyat tetapi pelabur luar dan ramai pihak bahawa jawapan kerajaan itu dipersoalkan,” tambahnya.
Semalam Hamzah membangkitkan mengenai tindakan yang akan diambil terhadap ahli lembaga TNB selepas membuat pengumuman berkaitan kenaikan tarif elektrik oleh TNB yang disifatkan melanggar obligasi Penzahiran Maklumat Material di bawah Peraturan Suruhanjaya Sekuriti.

