Pembangkang menyifatkan kerajaan hanya bernasib baik dalam proses keluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, dalam sesi Dewan Rakyat pada Selasa.
Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berkata kerajaan juga memperoleh jumlah undi ‘cukup-cukup makan’ apabila hanya 148 ahli parlimen mengundi untuk menyokong RUU terbabit.
"Banyak suara yang dikeluarkan oleh ahli parlimen kerajaan termasuklah kelab penyokong kerajaan yang saya perhatikan seolah-olah pindaan perlembagaan yang mendapat 148 undi itu satu kemenangan besar.
“Saya nak jelaskan, 148 undi itu hanya cukup makan. (Jika) 147 (undi) tak lulus perlembagaan.
“Jadi tak payahlah nak cakap seolah-olah ia merupakan satu reformasi, kalau benar sepatutnya semua ahli Parlimen kerajaan kena ada dalam Dewan Rakyat untuk menyokong pindaan perlembagaan tersebut," katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan untuk mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
Pindaan itu mendapat sokongan 148 ahli parlimen menerusi undi belah bahagi sekali gus melepasi keperluan majoriti dua pertiga.
Bagaimanapun, 57 ahli parlimen tidak mengundi manakala 17 lagi tidak hadir ketika sesi undian dijalankan.
Sebelum itu, 18 ahli parlimen kerajaan dan pembangkang telah membahaskan rang undang-undang tersebut.
‘Berkecuali bukan bermakna tolak’
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut berkata dia ingin menjelaskan bahawa tindakan pembangkang tidak mengundi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bukan kerana mereka menolak reformasi tetapi sebaliknya mendakwa apa yang dibawa kerajaan itu tidak jelas dan banyak kelompongan.

Menurut Timbalan Presiden Bersatu itu, pembangkang juga tidak menolak RUU itu sebaliknya memilih berkecuali dengan tidak mengundi.
"Apabila kita di pihak pembangkang, berkecuali bukan bermakna kita tolak. Ada perbezaan di sini (kerana) tidak undi bermakna berkecuali.
"Saya ingin jelaskan bila berkecuali (sebab) nak dapatkan ketegasan undang-undang dibawa dalam Parlimen biar sesuatu (yang) jelas. Masalah kita tak jelas (RUU itu) dan banyak kelompongan," katanya.
Hamzah juga menegaskan langkah pembangkang meminta RUU itu ditangguh antaranya kerana merasa janggal berhubung soal kedudukan Yang di-Pertuan Agong di dalam RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 itu nanti.
"Sebab itu minta ditangguh bukan tak sokong. Perlu berlaku adil.
"Proses secara adil dengan tubuh jawatankuasa dan bincang semua pihak," katanya.

