malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Trend cenderung jual kelapa muda antara punca harga santan naik
ADS

PARLIMEN l Trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda, berbanding kelapa tua antara faktor kenaikan harga santan segar secara mendadak di pasaran sejak November tahun lalu.

Selain itu, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, kekurangan bekalan dan kenaikan harga kelapa yang diimport dari Indonesia juga adalah faktor kenaikan harga santan segar secara mendadak di pasaran sejak November tahun lalu.

Sehubungan itu, Mohamad berkata lonjakan harga itu bukan berpunca akibat kekurangan bekalan kelapa di negara ini.

Mohamad Sabu

Ini berikutan kekurangan bekalan serta peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China, sekali gus memberi kesan kepada harga kelapa tempatan berikutan permintaan lebih tinggi.

"Trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda, berbanding kelapa tua turut menyumbang kepada bekalan tidak mencukupi untuk pemprosesan santan.

"Kebanyakan penanam kelapa di negara ini memilih untuk menjual kelapa muda kerana harga lebih tinggi dan tempoh tuaian lebih singkat.

"Faktor cuaca seperti kemarau dan banjir juga memberi kesan kepada pengeluaran kelapa di ladang," katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Rodziah Ismail

Mohamad menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai perancangan menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa, terutama santan yang boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan nilai berteraskan kelapa.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FAMA Corporation Sdn.Bhd (FAMACO) telah menggerakkan langkah untuk menstabilkan harga dalam memastikan bekalan barangan itu diperolehi.

Katanya sehingga Selasa lalu, FAMA dan FAMACO telah membawa masuk bekalan kelapa tua dikupas sebanyak 734 tan metrik dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian berjumlah RM2.01 juta.

"Bekalan kelapa tua tersebut seterusnya diedarkan oleh 42 buah Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 buah outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Pasar Tani, Pasar Tani Kekal.

"Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 orang usahawan santan di seluruh negara," katanya.

Mengenai pelan jangka sederhana, Mohamad berkata, Jabatan Pertanian melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran kelapa tempatan.

Selain itu, katanya, kerajaan melalui program Pembangunan Industri Kelapa 2021-2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 menyediakan insentif bagi petani meningkatkan pengeluaran kelapa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen