Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa undang-undang yang menjenayahkan perbuatan melukakan perasaan agama orang lain sebagai sah.
Hakim K Muniandy pagi ini membuat keputusan itu berhubung permohonan dua pembikin filem kontroversi “Mentega Terbang” yang ditayangkan pada 2021.
Filem berkenaan yang telah diharamkan mengisahkan seorang remaja berusia 15 tahun, Aishah, yang mencari tahu mengenai konsep kelahiran semula dalam agama lain selepas kematian ibunya.
Pengarah, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbit Tan Meng Kheng berdepan pertuduhan jenayah berkaitan dakwaan melukakan perasaan agama orang lain.
Mereka yang sebelum ini didakwa di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan mencabar peruntukan undang-undang berkenaan.
Muniandy memutuskan bahawa Seksyen 298 adalah undang-undang sebelum Merdeka yang masih sah digunakan hari ini kerana Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang.
Hakim itu menegaskan badan perundangan berkuasa untuk menetapkan sekatan munasabah terhadap kebebasan bersuara dan berekspresi demi kepentingan ketenteraman awam.
"Seksyen 298 selaras dengan masyarakat Malaysia bagi memelihara sensitiviti agama, yang merupakan perkara penting," kata Muniandy dalam keputusannya.
Hakim itu juga menyatakan bahawa Khairianwar dan Tan masih mempunyai hak untuk membela diri dalam kes jenayah yang masih tertangguh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
“Tertuduh diberikan hak untuk perbicaraan yang adil bagi mempertahankan diri daripada pertuduhan, dan pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa kata-kata yang didakwa itu benar-benar melukakan perasaan keagamaan pihak lain,” kata Muniandy, sebelum mengarahkan kes itu dikembalikan ke mahkamah rendah.
Khairianwar dan Tan berpendapat bahawa Seksyen 298 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan hak asasi mereka untuk kebebasan bersuara dan berekspresi.
Peguam mereka, N Surendran, menyatakan bahawa mereka akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini kedua-dua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan melukakan perasaan agama orang lain melalui filem tersebut.
Dalam filem itu, watak bapa Aishah digambarkan sebagai seorang yang liberal dan tidak mempunyai masalah apabila anak perempuannya mempelajari kitab suci agama lain dalam usaha mencari jawapan.
Pada 17 Jan tahun lalu, Khairianwar dan Tan mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret atas pertuduhan dengan sengaja melukakan perasaan agama orang lain.
Seksyen 298 memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Khairianwar, 33, dituduh melakukan kesalahan itu pada 26 Feb 2023, selaku pengarah dan penulis skrip filem berkenaan.
Tan, 38, yang merupakan seorang guru pula didakwa melakukan kesalahan tersebut selaku penerbit filem kontroversi itu pada tarikh yang sama.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit di Diamond Regency, Jalan Semarak Api 2, Kuala Lumpur, sekitar jam 12.34 tengah hari.
Mereka didakwa sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan dalam pendengaran dan meletakkan objek dalam penglihatan orang, dengan berperanan sebagai pengarah, penulis skrip dan penerbit Mentega Terbang.
Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob mewakili pihak pendakwaan.

