PARLIMEN | Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) cuba memberi penjelasan berhubung maksud “sial”, selepas bantahan yang diterimanya kerana menggunakan istilah itu di Dewan Rakyat hari ini.
Suhaimi menggunakan istilah itu ketika menyuarakan kekecewaannya terhadap satu pesanan WhatsApp yang mengkritik pembangkang kerana mengambil sikap berkecuali ketika undian ke atas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang berkaitan dengan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA).
Pesanan itu antara lain menyindir 57 ahli Parlimen pembangkang yang tidak mengundi. RUU itu diluluskan dengan sokongan 148 ahli Parlimen.
Selepas membacakan pesanan itu ketika perbahasan RUU PSA hari ini, Suhaimi yang kelihatan berang berkata: “Betapa sialnya apa yang berlaku ini”.
Chong Zhemin (PH-Kampar) kemudian membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4) yang melarang ahli Dewan Rakyat daripada menggunakan bahasa kasar atau membuat kenyataan seksis.
Ketika diminta Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), yang mempengerusikan sidang hari ini, untuk menjawab tuduhan Chong, Suhaimi menegaskan dia tidak silap dalam menggunakan istilah itu.

“Saya sebut sebab saya nampak definisi sial itu tidak untung, selalu gagal dalam mendapatkan sesuatu, tidak bernasib baik, selalu ditimpa kemalangan, selalu susah.
“Semalam kita gagal…Memang susah sebab kadang-kadang speaker tak berpihak dengan kita. Sebab itu saya guna perkataan sial. Cukup baik dah tu,” kata Suhaimi.
Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Shahar menegur Suhaimi dan mengarahkannya untuk menarik balik kenyataannya.
Suhaimi bersetuju seraya menambah: “saya tambahkan perkataan itu dalam senarai apa yang saya tak boleh katakan di Dewan”.
RUU PSA bertujuan memberi autonomi kepada Parlimen dalam mengendalikan kewangan dan perjalanannya, sekaligus memisahkannya daripada perkhidmatan awam dan kuasa badan eksekutif.