Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang bertujuan memperkukuhkan sistem demokrasi berperlembagaan.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said diluluskan melalui undi suara, dengan lebih suara bersetuju.
Seramai 35 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang membahaskan RUU berkenaan sebelum ini.
RUU itu seterusnya dibaca buat kali ketiga dan mendapat jumlah undian majoriti Dewan Rakyat dan akan dibawa ke Dewan Negara.
Pada 24 Feb lepas, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. Ia antara lain mengandungi peruntukan berhubung mewujudkan perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang antaranya berfungsi untukmelantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota perkhidmatan Parlimen, memantau semua perkara kewangan berhubungan perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan yang berkaitan.
Menerusi RUU itu, kerajaan juga perlu menyediakan dana mencukupi bagi perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.