malaysiakini logo
ADS
story-image
ADS

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen kerajaan hari ini mencadangkan agar satu badan tambahan diwujudkan sebagai entiti mengawasi Majlis Perkhidmatan Parlimen yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkata perlu ada sebuah jawatankuasa bersama yang mewakili ahli parlimen dalam menyelia majlis yang akan menjadi entiti autonomi bagi menguruskan operasi parlimen.

Menegaskan ia adalah cadangan bagi menambah baik Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) itu, Syahredzan berkata, suatu jawatankuasa yang terdiri daripada ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara ditubuhkan agar Majlis Perkhidmatan Parlimen dapat menjalankan fungsi mereka dengan baik.

Katanya, ia adalah tambahan kepada Majlis Perkhidmatan Parlimen yang memang ditetapkan dianggotai oleh ahli parlimen, senator dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Dewan Negara.

Badan itu, kata Syahredzan semasa membahaskan Rang Undang-undang (RUU) PSA di Dewan Rakyat awal hari ini, perlu mewakili ahli parlimen secara keseluruhan dan menjadi badan pemantau secara langsung ke atas Majlis Perkhidmatan Parlimen.

ADS

"Kedua, saya juga berharap dengan RUU (rang undang-undang) ini, kita juga dapat melihat bagaimana dibuat pindaan dan penambahbaikan ke atas aturan mesyuarat dan perjalanan Parlimen," katanya.

RUU yang dicadangkan itu bertujuan memberi kuasa autonomi kepada parlimen bagi menguruskan operasi dan aspek kewangannya, sekali  gus memisahkan cabang perundangan daripada perkhidmatan awam dan kuasa badan eksekutif.

Dalam ucapan perbahasannya itu juga, Syahredzan turut mencadangkan parlimen mempertimbangkan cadangan agar lebih banyak hari ditetapkan untuk persidangan agar lebih banyak RUU dapat dibahaskan serta diluluskan.

ADS

Dia juga menyatakan sokongan kepada cadangan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) agar ahli parlimen - sama ada di blok kerajaan mahupun pembangkang - mendapat peruntukan sama rata untuk pusat khidmat masing-masing.

Pelaksanaan itu, tambahnya, diperlukan agar ahli parlimen tertentu tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan dari poket sendiri bagi membiayai pusat khidmat yang ada.

"Alhamdulillah, buat masa ini saya menjadi ahli parlimen kerajaan, tapi kita tak tahu apa jadi pada masa akan datang.

"Sekurang-kurangnya untuk pusat khidmat itu perlu ada dana yang diberikan (daripada kerajaan) kepada pihak sebelah sini (blok kerajaan) dan pihak sebelah sana (pembangkang) untuk memastikan kita dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parlimen," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen