malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
Tak undi tak sama dengan tak sokong: Khairil Nizam bidas k'jaan
ADS

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mempertahankan tindakan blok pembangkang yang mengambil sikap berkecuali dalam meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen, dalam sesi Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Jerantut-PN, Khairil Nizam Khirudin ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025 hari ini menegaskan tindakan pembangkang itu bukanlah satu penolakan, sebaliknya hak setiap ahli parlimen untuk membuat keputusan.

"Apa yang berlaku semalam bukan penolakan tetapi apa yang berlaku semalam adalah hak yang ada pada semua ahli parlimen. Bila kita masuk sahaja dewan ini, ia ada bahagian kerajaan dan bahagian pembangkang. Ada benda yang kita boleh sokong, tolak dan berkecuali.

"Ini bukan perkara yang ada dalam al-Quran yang ada halal, haram, dia tak ada baina-baina (nyata, terang atau jelas). Jadi, apa salahnya tindakan semalam dan kenapa mengatakan kami menolak," soalnya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

ADS

Mengulas lanjut, Khairil Nizam turut mempertikaikan tanggapan yang cuba dibina mengenai pembangkang menolak RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025.

"Tadi ada ahli parlimen kata read between the lines (nak faham apa yang tersirat), bukan ke patut anda yang membaca read between the lines? Kenapa pembangkang?

"Dalam satu rang undang-undang yang membicarakan tentang legislatif, kami berkecuali. Patutnya pihak kerajaan yang membaca read between the lines.

"Sebab bukan kami yang memerintah. Ini adalah RUU yang membicarakan hak kita semua, tidak kira pembangkang atau kerajaan.

ADS

Tak jujur di bulan Ramadan

"Di mana logiknya mengatakan kami menolak dalam keadaan kami ditekan pagi, petang, siang dan malam oleh kerajaan yang memerintah dan kezaliman yang dikenakan kepada kami dinyatakan dan disahkan dalam perbahasan ahli parlimen daripada kerajaan," dakwanya.

Khairil Nizam turut menyindir cara berbahas sesetengah ahli parlimen kerajaan yang dilihat tidak rasional.

"Mana akalnya? Dah lah bulan Ramadan, tak jujur dalam berbahas," tambahnya.

Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan untuk mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.

Pindaan itu mendapat sokongan 148 ahli parlimen menerusi undi belah bahagi sekaligus melepasi keperluan majoriti dua pertiga.

Bagaimanapun, 57 ahli parlimen tidak mengundi manakala 17 lagi tidak hadir ketika sesi undian dijalankan.

Sebelum itu, 18 ahli parlimen kerajaan dan pembangkang telah membahaskan rang undang-undang tersebut.

ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan 57 ahli parlimen pembangkang yang tidak menyokong RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebagai mengkhianati usaha reformasi institusi Parlimen Malaysia.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah pula mendakwa tindakan blok pembangkang itu tidak mengejutkan.

“(Ini) memandangkan gerombolan yang sama juga telah merobek serta menginjak demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut meluahkan rasa kesal terhadap 57 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak mengundi, menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dalam usaha memperkasakan institusi Parlimen.

"Kita lihat mereka gagal. Bukan hanya apabila kita mendengar perbahasan mereka yang jauh menyimpang daripada apa yang dibentangkan, malah mereka sendiri menunjukkan sikap tidak mahu membantu dalam proses memastikan parlimen itu bebas," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen