Pejuang mempertikaikan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak adil dan tidak berat sebelah, dengan membandingkan cara agensi itu menangani kes melibatkan ahli politik yang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mereka yang tidak mendukungnya.
Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali (gambar bawah) membangkitkan siasatan SPRM terhadap bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang menurutnya jelas menunjukkan amalan dua darjat.
"Melawan rasuah dan salah guna kuasa itu baik. Tetapi tidak baik apabila SPRM dilihat aktif dalam kes-kes yang melibatkan individu yang 'melawan' perdana menteri. Sebaliknya, darjat lain pula yang 'bersama' dengan perdana menteri.
"Pada awal 2024 Ismail Sabri telahpun dipanggil untuk siasatan. Kemudian isu ini senyap sepi tiada sebarang berita hinggalah ura-ura pertukaran kerajaan di media sosial. Ditambah pula keberanian dan lantang Ismail Sabri mempersoal kerajaan dalam isu tarif letrik.

"Berbeza pula dengan kes timbalan perdana menteri 1. Dituduh, dihadap ke mahkamah, didapati prima facie, dipanggil bela diri, tetapi tiba-tiba pada September 2023 dipohon DNAA 47 kes oleh pendakwa raya.
"Apa yang disiasat dari September 2023 sehingga sekarang 17 bulan? Tiada berita tiada perkembangan?" soal Rafique.
Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan kepada media Ismail Sabri merupakan suspek dalam siasatan mereka berkaitan dakwaan rasuah melibatkan perbelanjaan kerajaan dalam program 'Keluarga Malaysia'.
Pada sidang media SPRM yang mempamerkan sejumlah besar wang tunai dan 16 jongkong emas bernilai lebih RM177 juta yang disita dari sebuah rumah yang dikaitkan dengan pembantu ahli parlimen Bera itu, Azam menafikan tindakan agensi itu bermotif politik.

Bagaimanapun, Rafique menyenaraikan beberapa kes lain yang melibatkan ahli politik yang rapat dengan Anwar tetapi masih belum diselesaikan.
"Di manakah hilangnya taring SPRM berkenaan kes bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim berkaitan Hei Tech Padu RM1 bilion?
"Ke manakah perginya keberkesanan dan semangat Azam Baki dihadapan media bagi kes dakwaan Adun Sabah yang video dan audio tular seantero negara?
"Mengapa tiada sidang media dan siasatan terbuka SPRM berkaitan skandal RM10juta di DBKL yang babitkan orang parti perdana menteri sendiri?

"Lupakah SPRM mengenai skandal RM97juta terkait seorang bekas menteri dari parti dalam kerajaan," katanya.
Rafique mendakwa SPRM mengamalkan dua darjat dan digunakan sebagai alat untuk mengancam mereka yang menentang perdana menteri.
Tegasnya, SPRM akan terus dilihat sebagai alat politik selagi tidak diletakkan di bawah pengawasan parlimen supaya agensi itu boleh diperiksa dengan lebih telus.