malaysiakini logo
ADS
story-image
mk-logo
Berita
URA: Mahathir mahu beri imej negatif terhadap usaha kerajaan - Sheikh Umar
Diterbitkan:  Mar 4, 2025 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM
ADS

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali menyanggah kritikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai usaha untuk memberikan imej negatif terhadap usaha kerajaan.

Bertentangan dengan dakwaan Mahathir yang akta itu akan menghakis kuasa politik orang Melayu, Sheikh Umar berkata RUU itu bertujuan meningkatkan taraf kehidupan rakyat di bandar.

“Contohnya, pelbagai masalah dihadapi penduduk rumah pangsa di bandar seperti keselamatan bangunan, sistem kumbahan, kekurangan tempat letak kenderaan, kerosakan lif dan sebagainya. 

“Menerusi URA, ia dapat menambah keselesaan, mengurangkan kos penyelenggaraan, menyediakan kemudahan infrastruktur lebih lengkap seterusnya menjamin keselamatan penduduk,” kata bekas Adun Paloh itu dalam kenyataan hari ini.

Sheikh Umar juga menyifatkan kenyataan Mahathir seolah-olah cuba menggambarkan URA sebagai alat untuk menindas dan melemahkan orang Melayu.

ADS

“Hakikatnya, hak setiap warganegara kita dilindungi oleh undang-undang. 

“Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan memberikan jaminan kepada rakyat terhadap harta yang mereka punyai dimana tiada individu boleh dilucutkan hak pemilikannya kecuali mengikut lunas undang-undang serta pampasan yang adil,” katanya.


PANDUANKINI | Akta Pembaharuan Semula Bandar - Apa kita tahu setakat ini?


ADS

Dalam kenyataannya, Mahathir juga berkata jika contoh Singapura bagi pembaharuan bandar ini ditiru, jumlah penduduk Melayu dalam bandar akan berkurangan dan pemisahan kaum menjadi lebih luas.

Sementara itu, Sheikh Umar turut menyangkal kenyataan Mahathir yang ramai orang Melayu tidak mampu untuk membeli hartanah yang tanah yang dibangunkan semula.

Ini kerana, katanya, kerajaan akan membantu untuk memastikan rundingan lebih adil antara pemaju dan pemilik tanah berbanding sebelum adanya undang-undang seperti URA.

Pemimpin kerajaan menegaskan URA bertujuan untuk menambah baik atau membangunkan semula bangunan usang dan, dalam beberapa kes, perumahan terbengkalai di bandar-bandar utama dan menafikan bahawa ia akan memindahkan penduduk kerana mereka masih akan mengekalkan pemilikan.

Antara lain, RUU itu akan mengurangkan peratusan persetujuan untuk membangunkan semula perumahan lama daripada 100 peratus pemilik unit kepada 80 peratus atau serendah 51 peratus, bergantung kepada usia dan keadaan perumahan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen