malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Beras import, tempatan dah bercampur sejak 1970-an
Diterbitkan:  Mar 4, 2025 1:18 PM
Dikemaskini: 5:18 AM
ADS

Walaupun isu campuran beras tempatan dan import telah menjadi amalan sejak tahun 1970-an, tiada peruntukan jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Menegaskan isu itu tidak unik kepada pentadbiran semasa, Mohamad berkata jejak sejarah itu didedahkan dalam kajian mengenai industri beras dan padi yang dijalankan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) awal tahun lepas. 

“Amalan pencampuran beras ini telah berlaku sejak tahun 1970-an lagi, iaitu selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu dan bukannya baru berlaku ketika pemerintahan kerajaan sekarang.

“Bagaimanapun, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang khusus yang jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah mengenai kesalahan percampuran beras,” kata Mohamad dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, semalam.

Mohamad (PH-Kota Raja) berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan dikemukakan Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang meminta menteri itu menyatakan ke mana perginya beras tempatan, sedangkan keluasan sawah kita lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih daripada 2.4 juta tan metrik padi semusim. 

Wakil rakyat pembangkang juga mempersoalkan perancangan kementerian untuk mengatasi masalah yang berlarutan hampir dua tahun ini.

Terdahulu media tempatan melaporkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT). 

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, dilaporkan berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.

Mohamad berkata, MyCC menjalankan kajian ke atas industri padi dan beras pada sejak awal tahun 2024. 

Menurutnya, hasil kajian tersebut dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 Tahun 2024 pada 17 Disember 2024

“Berdasarkan dapatan MyCC, berlaku amalan proses pencampuran beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI) di dalam industri padi dan beras. 

“MyCC merumuskan bahawa tujuan pencampuran ini adalah untuk memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran,” katanya.

Susulan itu tambahnya kementerian diarahkan memperhalusi mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan kepada kabinet. 

Jelasnya, mekanisme bagi mengawal percampuran turut mendapat sokongan MyCC sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras.

Mohamad dalam sesi penerangan di Dewan Rakyat bulan lalu mengumumkan langkah kerajaan menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik yang telah berkuat kuasa 16 Feb 2025. 

Kerajaan mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran BPT sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan mulai 1 Mac hingga 31 Ogos bagi memastikan keberadaan bekalan sebanyak 24 juta kampit BPT 10 kilogram secara berperingkat di pasaran. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen