Parti-parti politik sering menjadikan peratusan penyertaan wanita dalam politik sekadar syarat untuk dipenuhi semata-mata tanpa memastikan golongan itu diberikan kuasa sebenar, kata pensyarah Universiti Monash, Benjamin Loh Yew Hoong.
Dia merujuk kepada parti-parti yang berbangga meletakkan peratusan tinggi calon wanita dalam pilihan raya umum lalu, namun ramai daripada mereka tidak memenangi kerusi.
"Bagi kebanyakan parti, ia hanyalah kotak tanda semak yang perlu ditandakan," katanya dalam satu panel di acara anjuran bersama Westminster Foundation for Democracy (WFD) dan Malaysiakini di Kuala Lumpur, semalam.
Ketika ini, terdapat 28 wakil wanita di Parlimen Malaysia, bersamaan dengan 13.5 peratus daripada keseluruhan anggota.

Daripada 31 menteri kabinet, lima menteri wanita:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
- ADS
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Pada Oktober lalu, Ketua Wanita Pakatan Harapan, Aiman Athirah Sabu (gambar atas) menggesa agar undang-undang diubah untuk memperuntukkan 30 peratus kerusi parlimen kepada calon wanita.
Dia mencadangkan pelaksanaan skim insentif khas untuk memberi ganjaran kepada parti politik yang mencapai ambang 30 peratus calon wanita dan menggesa kabinet membincangkannya.
Sementara itu, Pengarah Negara WFD, Ooi Kok Hin (gambar bawah) berkata Malaysia tidak pernah mempunyai lebih daripada 15 peratus wakil wanita di parlimen.

"Perkara ini tentulah bukan disebabkan budaya dan sebagainya, tetapi lebih kepada apa yang disebut sebagai halangan struktural," jelasnya.
Latar belakang sosioekonomi kata Oii menjadi salah satu halangan struktur itu.
"Wanita dalam kalangan B40, keluarga B40, dia lebih susah melibatkan diri dalam politik kerana contohnya jangkaan penjagaan anak terletak di bahunya," katanya.
Oii merujuk kepada kajian WFD 2022 bertajuk 'Kepimpinan Politik Wanita di Rantau Asean' yang menyatakan halangan kewangan cabaran terbesar bagi wanita dalam politik.
Dia juga berkata faktor lain seperti keganasan berasaskan gender yang tidak seimbang yang mempengaruhi ahli politik wanita muda juga memainkan peranan.