Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR) hari ini menggesa siasatan yang adil, tidak berpihak dan telus terhadap kes rasuah yang melibatkan seorang wartawan Malaysiakini.
APHR berkata penahanan wartawan B Nantha Kumar menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan media di negara ini serta kemungkinan penyalahgunaan mekanisme undang-undang untuk menyasarkan wartawan.
“Kes ini berisiko dilihat sebagai percubaan untuk menyekat kewartawanan penyiasatan. Pihak berkuasa mesti memastikan penguatkuasaan undang-undang tidak dijadikan senjata untuk mengganggu wartawan.
“Media yang bebas penting bagi mana-mana demokrasi, dan Malaysia mesti menegakkan komitmennya terhadap kebebasan media,” kata pengerusi bersama APHR dan bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago dalam kenyataan.
Seorang lagi pengerusi bersama APHR, ahli Parlimen Indonesia Mercy Chriesty Barends mengingatkan bahawa wartawan memainkan peranan penting dalam mendedahkan rasuah dan memastikan pihak berkuasa bertanggungjawab.
“Walaupun rasuah mesti ditangani, sebarang percubaan menggunakan undang-undang antirasuah untuk menakut-nakutkan atau membungkam media tidak boleh diterima,” katanya.
Pada Jumaat malam lalu, SPRM menahan Nantha dan meremannya sehingga esok.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendakwa Nantha telah meminta rasuah sebanyak RM100,000 daripada seorang ejen pekerja asing sebagai pertukaran untuk tidak menerbitkan dua artikel mengenai ejen tersebut, sebelum jumlah itu dikurangkan kepada RM20,000.
Ejen itu kemudian membuat laporan kepada SPRM, yang kemudiannya dilaporkan menahan Nantha di sebuah hotel di Shah Alam ketika urusan tersebut berlaku.
Nantha, yang telah berkhidmat dengan Malaysiakini sejak 2018, baru-baru ini banyak menulis laporan mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.
Dia baru-baru ini membuat pendedahan mengenai kewujudan kartel baru dari Pakistan yang didakwa diketuai oleh seorang bekas pegawai Jabatan Imigresen yang kini bergelar “Datuk”.
Azam mengesahkan awal hari ini bahawa SPRM juga sedang menyiasat kartel tersebut.
Berikutan penahanan Nantha, beberapa kumpulan wartawan menyuarakan gesaan agar SPRM memastikan bahawa wartawan yang disiasat diberikan layanan yang adil.