malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim, tolong kenang budi - Pemuda Umno
Diterbitkan:  Mar 3, 2025 7:32 PM
Dikemaskini: 11:33 AM
ADS

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali menempelak kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang mencadangkan peningkatan peruntukan kepada kaum bukan bumiputera daripada tiga peratus kepada 10 peratus.

Zuhir menegaskan bahawa peruntukan untuk bumiputera tidak seharusnya dipertikaikan kerana kaum peribumi itu masih majoriti kelompok miskin di Malaysia.

“Kaum Bumiputera masih berdepan masalah kemiskinan parah. Saya ambil contoh, kadar kemiskinan mutlak Bumiputera (7.2 peratus) jauh lebih tinggi daripada paras kemiskinan nasional.

“Sedangkan kadar kemiskinan mutlak kaum Cina (1.4 peratus) dan kaum India 4.8 peratus. Cukup seringkas data ini pun kita dah boleh faham,” katanya.

ADS

Menurut Wan Muhammad (gambar atas) meskipun pelbagai bantuan kerajaan telah disalurkan kepada kaum bumiputera, pegangan ekonomi bumiputera masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

Sehubungan itu, Zuhir mengingatkan Lim supaya tidak mempertikaikan peruntukan yang diberikan kepada bumiputera, sebaliknya lebih memahami realiti sosioekonomi negara sebelum mengeluarkan sebarang cadangan.

“Sebelum Lim Guan Eng pertikaikan peruntukan untuk kaum bumiputera, tolong jadi manusia yang tahu kenang budi.

"Jangan pentingkan diri sendiri sampai nak pinggirkan kepentingan yang lebih besar,” tegasnya.

Sebelum ini, Lim menggesa kerajaan menambah peruntukan kepada golongan bukan bumiputera kepada 10 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan bumiputera demi semangat kerajaan perpaduan.

Lim berkata dalam Belanjawan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2022, bumiputera diperuntukkan sebanyak RM11.4 bilion manakala bukan bumiputera diberikan pula RM345 juta atau tiga peratus.

“Saya menyokong apa-apa jumlah yang diberikan untuk membantu kaum bumi tetapi yang diminta ialah peratusan tiga peratus yang diperuntukkan kepada kaum bumi dinaikkan kepada 10 peratus untuk kaum bukan bumi. 

“Contohnya sekiranya RM12 bilion diperuntukkan kepada kaum bumi, berikanlah 10 peratus atau RM1.2 bilion kepada kaum bukan bumi. 

“Ini selaras dengan kerajaan perpaduan yang menjaga semua rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, cadangan itu menerima reaksi berbeza daripada beberapa pihak, terutamanya dalam kalangan pemimpin politik Melayu yang menekankan tahap sosioekonomi bumiputera masih jauh ketinggalan dan memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen