Bekas pengerusi 1MDB, Che Lodin Wok Kamaruddin setuju bekas perdana menteri Najib Razak yang mengarahkan supaya KPMG digugurkan sebagai juruaudit kepada syarikat pelaburan negara itu.
Lodin saksi pembelaan Najib, memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya bahawa keputusan pengguguran juruaudit itu dibuat selepas KPMG enggan menandatangani akaun 1MDB bagi tahun 2013.
Dalam sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, Lodin mengakui arahan untuk menamatkan perkhidmatan KPMG datang daripada Najib selepas dia ditunjukkan tiga dokumen bertarikh 31 Disember 2013, iaitu:
1. Resolusi pekeliling pengarah 1MDB,
2. Surat 1MDB kepada KPMG, dan
3. Surat Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang ditandatangani oleh Najib.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh pemegang saham tunggal, iaitu Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), yang diwakili oleh menteri kewangan.
Kamal: Keputusan untuk menyingkirkan KPMG datang daripada pemegang saham, iaitu Najib?
Lodin: Ini berdasarkan keperluan dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB, dengan MOF Inc pemegang sahamnya.
Kamal: (Jadi, arahan itu) datang daripada Najib?
Lodin: Ya.
Kamal: KPMG ada isu dengan pelaburan (1MDB) dalam Brazen Sky?
Lodin: Ya.

Sebelum ini, Johan Idris, rakan pengurusan KPMG, memberi keterangan dia berasa ditekan dan diugut oleh Najib dalam satu pertemuan di kediaman bekas perdana menteri itu di Langgak Duta pada 15 Disember 2013.
Ketika itu, Najib dikatakan cuba memaksa KPMG untuk menandatangani akaun 1MDB namun firma tersebut tetap enggan sehingga mereka dapat melihat dokumen lengkap berkaitan pelaburan luar negara 1MDB yang meragukan berjumlah AS$2.3 bilion dalam Brazen Sky.
Akibat keengganan KPMG, perkhidmatannya sebagai juruaudit 1MDB ditamatkan pada 31 Disember 2013 dan firma Deloitte dilantik mengambil alih tugas tersebut serta menandatangani akaun 1MDB pada tahun berikutnya.
Bagaimanapun, Najib dalam keterangannya menafikan dia pernah memaksa KPMG untuk menandatangani akaun 1MDB.
Tiada tindakan terhadap Shahrol Azral
Dalam sesi soal balas lain oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Lodin mengakui 1MDB tidak pernah mengambil sebarang tindakan terhadap bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Ia berkaitan salah urus yang dikaitkan dengan tindakan tergesa-gesa memasuki usaha sama bernilai AS$1 bilion dengan Petrosaudi International Limited (PSI) pada 30 September.
Sebaliknya, Lodin mengesahkan di bawah kepimpinannya, Shahrol (gambar bawah) diberikan bonus kerana prestasi cemerlang.

Keputusan itu dibuat walaupun bekas pengerusi sebelum Lodin, Mohd Bakke Salleh menyuarakan kebimbangannya terhadap salah urus membabitkan Shahrol.
Ini sebelum Mohd Bakke meletak jawatan pada 19 Oktober 2009.
Perkara ini didedahkan dalam minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB yang dipengerusikan oleh Bakke pada 3 Oktober tahun yang sama, dengan dia membangkitkan isu salah urus di bawah Shahrol.
Pendakwa raya berhujah Shahrol bertindak mengikut arahan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), yang didakwa bertindak atas restu Najib.

Semasa sesi soal balas oleh Mustaffa, Lodin bersetuju Bakke (gambar atas) telah menyuarakan kebimbangannya berdasarkan minit mesyuarat yang dikemukakan di mahkamah.
Lodin juga bersetuju dengan pendakwa raya mengenai satu lagi minit mesyuarat 1MDB yang dipengerusikannya pada Julai 2013, apabila lembaga pengarah bersetuju untuk memberikan Shahrol bonus selama 18 bulan serta kenaikan gaji 10 peratus, menjadikannya RM99,000 sebulan.
Apabila Mustaffa merujuk kepada minit mesyuarat yang menyatakan Shahrol telah melebihi jangkaan dan menunjukkan prestasi cemerlang, Lodin mengakui perkara itu memang berlaku dalam mesyuarat tersebut.
Mustaffa: Walaupun terdapat dakwaan salah urus oleh Bakke, Shahrol tetap diberikan ganjaran?
Lodin: Itu pandangan Bakke. Penilaian lembaga pada ketika itu berdasarkan peranan Shahrol dalam mempromosikan 1MDB. Bakke tidak mengemukakan pendapatnya kepada kami ahli lembaga sebelum meletak jawatan dan pergi.
Mustaffa: Saya katakan tiada tindakan diambil terhadap Shahrol kerana dia hanya menjalankan arahan Najib?
Lodin: Pada waktu itu, saya tidak boleh mengatakan ya atau tidak. Ketika itu, pengurusan mempunyai perspektif berbeza sebelum mengetahui penyelewengan sebenar dalam 1MDB. Ketika itu, kami melihat objektif membuat keputusan terhadap kenaikan gaji dan bonus untuk pengurusan.
Mustaffa: Saya katakan tiada tindakan terhadap Shahrol kerana lembaga tahu bahawa dia bertindak atas arahan dan kepentingan Najib?
Lodin: Tidak, ada asas (bagi kenaikan bonus dan gaji Shahrol).
Menurut minit mesyuarat lembaga pengarah 1MDB, Bakke mempunyai keraguan terhadap tindakan pengurusan syarikat itu yang memasuki usaha sama dengan PSI tanpa menjalankan penilaian wajar (due diligence) yang mencukupi.
Ketika perbicaraan 1MDB pada 2019, Shahrol dalam keterangannya menyatakan Najib berpuas hati dengan prestasinya, menyebabkan dia diberikan bonus dan kenaikan gaji.
Shahrol melepaskan jawatannya sebagai CEO 1MDB pada 2013.
Lodin pula merupakan pengarah 1MDB sejak 2009, sebelum mengambil alih sebagai pengerusi selepas Bakke meletakkan jawatan pada Oktober 2009, dan memegang jawatan itu sehingga 2016.

Pada 30 Okt tahun lepas, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berdasarkan keterangan kira-kira 50 saksi.
Antara awal Disember tahun lalu dan akhir Januari tahun ini, Najib menghabiskan 26 hari di kandang saksi
Tertuduh berhujah bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan mahupun penglibatan dalam salah laku di 1MDB.

Bekas ahli parlimen Pekan itu juga bergantung kepada pembelaan bahawa dia telah diberi janji derma oleh mendiang Raja Arab Saudi Raja Abdullah semasa pertemuan antara mereka di Riyadh pada 2010.
Tertuduh telah menjalani hukuman penjara enam tahun sejak Ogos 2022 atas kes rasuah berasingan membabitkan penyelwengan RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Tujuan dana kekayaan negara adalah untuk memastikan pembangunan mampan jangka panjang sambil menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat Malaysia.
MOF Inc juga memiliki SRC sepenuhnya.