malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wan Fayhsal cabar lagi Rafizi, Fahmi berdebat isu jualan saham MAHB
ADS

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal sekali lagi mencabar Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berdebat berhubung isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Ia termasuk penjualan saham milik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencetuskan kontroversi.

Menjawab kritikan pemimpin Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Ammar Atan, Wan Ahmad Fayhsal menyifatkan belum sampai tahap untuk melawannya lagi.

Sebaliknya kenyataan Ammar terhadapnya dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong sekadar peluru kapur sahaja.

"Saya dah cabar Rafizi dan Fahmi berdebat, tapi tak ada jawapan sehingga hari ini.

"Nasihat saya kepada Pemuda PH, jangan jolok sarang tebuan, kamu belum sampai lagi tahap nak berlawan kami dalam isu KWSP dan MAHB ini.

"Yang kamu tembak itu fitnah dan saya cabar kamu saman saya dan Wee Ka Siong segera mungkin dalam hal ini seperti kamu dakwa dalam kenyataan media baru-baru ini," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Pada Ogos lalu Wan Ahmad Fayhsal mencabar Rafizi dan Fahmi untuk berdebat berhubung isu penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock Inc.

Bekas ketua pemuda Bersatu itu berkata, kesediaannya untuk berdebat di atas pentas neutral itu juga bertujuan menjawab persoalan berkaitan penggantungan beliau selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Kamu jangan cuba alih tiang gol. Rakyat hendak dengar perbahasan perdebatan berkenaan MAHB, jual saham kepada syarikat pro-Zionis.

"Kebenaran akan terserlah kenapa saya digantung selama enam bulan,” katanya dalam siaran video di Facebook.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata sampai ke hari ini semua pihak yang terbabit dalam penjualan saham MAHB belum menjawab apa dibangkitkannya.

"KWSP sampai hari ini, (termasuk) Khazanah dan semua yang menjual saham MAHB ini belum dapat menjawab sebarang soalan isu ini

"Pokoknya adalah, Pemuda PH dan Amanah, kalau kamu betul-betul nak selesaikan dan pertahankan kerajaan, kamu patut pertahankan presiden (Amanah) kamu yang gagal menguruskan beras tempatan iaitu, menteri pertanian," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen