SPRM hari ini mengesahkan mereka turut menyiasat kartel pemerdagangan migran yang baru-baru ini yang didedahkan oleh wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar, yang minggu lalu ditahan atas dakwaan rasuah.
“Ya, kami (sedang) siasat.
"Saya dah cakap banyak kali kepada media, kita (SPRM) juga telah pun, bukan kata sedang, telah pun menyiasat beberapa isu berhubung kartel kemasukan pekerja-pekerja asing ke negara ini,” kata ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada sidang media di Putrajaya petang ini.

Azam diminta mengemaskini siasatannya terhadap wartawan itu, yang ditahan pada Jumaat kerana didakwa menerima rasuah daripada ejen yang berurusan dengan pekerja asing.
Ini termasuk jika SPRM turut menyiasat ejen berkenaan berhubung dakwaan mereka terlibat dalam aktiviti kartel.
Wartawan itu ditahan pada Jumaat lalu kerana didakwa menerima rasuah RM20,000 daripada ejen yang berurusan dengan pekerja asing.
Rasuah itu didakwa sebagai pertukaran untuk tidak menerbitkan dua artikel yang akan mendedahkan kartel itu.
Nantha - yang berkhidmat dengan Malaysiakini sejak 2018 - telah menulis secara meluas mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.
Baru-baru ini, dia mededahkan berita tentang kegiatan kartel warga Pakistan yang didakwa didalangi oleh bekas pegawai Jabatan Imigresen, yang kini bergelar "Datuk".
Sementara itu, Bernama memetik Azam sebagai berkata, kertas siasatan kes rasuah itu, akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut bagi membolehkan pihak berkenaan membuat penilaian.
Katanya, penahanan itu dibuat susulan pengadu mendakwa wartawan itu telah meminta sejumlah wang dan ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Dalam hal ini, bila permintaan wang telah dibuat walaupun oleh seorang wartawan yang pada syak kita permintaan itu adalah berkaitan sesuatu perkara iaitu tidak menerbitkan suatu artikel.
“Dia (disyaki) memaksa pengadu itu untuk membayar wang, maka satu kesalahan rasuah dan kesalahan rasuah ini bukan hanya tertakluk kepada penjawat awam ataupun ahli politik sahaja,” katanya.
Ditanya adakah SPRM menyiasat sindiket kemasukan pekerja asing didedahkan wartawan itu, Azam berkata SPRM telah memulakan siasatan mengenai kes itu.
“Saya telah cakap banyak kali kepada pihak media bahawa kita sedang menyiasat beberapa isu kartel kemasukan pekerja-pekerja asing negara ini.
“Jadi siasatan itu masih lagi diteruskan tetapi (saya tegaskan) kalau pada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk memaksa orang membayar wang itu satu kesalahan,” katanya.
Azam berkata dia menyerahkan tanggungjawab kepada pegawainya berhubung siasatan kes itu, termasuk keperluan menyambung reman wartawan berkenaan.
Tambahnya, penahanan wartawan itu dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, dan bukannya mengenai sebarang laporan berita yang ditulisnya.
Wartawan berkenaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik, serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.
Dia kini direman selama empat hari bermula Sabtu sehingga esok.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata SPRM telah menahan 322 individu dan membuka 238 kertas siasatan berkait rasuah dan salah guna kuasa bagi tempoh 1 Jan hingga 28 Feb.
“Setakat ini, seramai 99 individu telah didakwa di mahkamah bagi dua bulan pertama tahun ini,” katanya lagi.